PETALING JAYA – Seramai 1,440 murid dan pelajar B40 di 72 sekolah di Penampang dan Kadamaian, Kota Belud dekat Sabah menerima bantuan persekolahan sumbangan Bank Rakyat berjumlah RM144,000.
Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) itu turut menyerahkan sebanyak 460 set komputer kepada 55 sekolah di kedua-dua kawasan itu.
Kuskop dalam satu kenyataan memaklumkan, sumbangan itu disampaikan pada Program Jangkauan Komuniti Madani Bank Rakyat: Penyerahan Set Komputer dan Sumbangan Kembali Ke Sekolah Sabah 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Piasau, Kota Belud dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak, Penampang.
Program itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick semalam.
Ewon berkata, ini menunjukkan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam memperkasakan pendidikan dan membantu pelajar yang memerlukan.
“Bagi pihak pelajar dan sekolah yang menerima sumbangan ini, saya ucapkan terima kasih kepada Bank Rakyat kerana terus menjadi sebahagian daripada penyelesaian keperluan dalam gerakan pendidikan bagi melengkapkan usaha sedia ada
khususnya yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya.
Katanya, selepas memulakan tanggungjawab menerajui Kuskop dua tahun lalu, beliau memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak.
“Sebab itu saya telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara berkaitan pembangunan keusahawanan, koperasi dan pendidikan,” katanya.
Ewon berkata, dalam bidang pendidikan Bank Rakyat, Yayasan Bank Rakyat (YBR) bersama agensi-agensi lain di bawah kementeriannya telah melaksanakan pelbagai inisiatif di Sabah dan Sarawak.
“Antaranya Program Ehsan@Kuskop yang mana YBR menyalurkan sumbangan sebanyak RM3 juta untuk melaksanakan inisiatif itu yang akan dilaksanakan di tiga daerah mempunyai daftar e-Kasih yang tinggi, iaitu Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud.
“Inisiatif ini adalah program memperkasa pendidikan kepada anak-anak keluarga yang berdaftar dalam e-Kasih melalui sumbangan sosial korporat Bank Rakyat yang diuruskan oleh YBR,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, menyedari pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah, Bank Rakyat percaya setiap pelajar berhak mendapat peluang yang sama untuk menimba ilmu tanpa kekangan kewangan.
“Sumbangan Kembali Ke Sekolah ini diharap dapat meringankan beban ibu bapa serta memberi semangat kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam akademik mereka.
“Kita sedia maklum bahawa teknologi memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan masa kini. Oleh itu, sumbangan komputer ini bertujuan memastikan pelajar mendapat akses kepada peralatan pembelajaran digital yang lebih baik sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mereka meneroka ilmu secara interaktif dan
inovatif,” katanya.
Tambahnya, inisiatif ini juga sejajar dengan usaha kerajaan dalam memperkasakan pendidikan digital di Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman. – KOSMO! ONLINE