Bancuh teh herba, perisa vape ‘berdengung’ dalam apartmen

3 weeks ago 24

JOHOR BAHRU – Kegiatan sindiket menjadikan sebuah apartmen di Taman Delima 2 di sini untuk dijadikan ‘port’ membancuh dadah jenis ekstasi terbongkar susulan tangkapan sepasang kekasih dan seorang lelaki dalam beberapa siri di daerah ini, Sabtu lalu.

Dalam serbuan pertama yang dilaksanakan bermula pada pukul 10.35 malam itu, pasangan kekasih itu diberkas ketika menginap di dalam sebuah hotel di Taman Sentosa di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pasangan kekasih yang diberkas itu berperanan sebagai pengedar kepada sindiket berkenaan.

“Ketika serbuan di hotel berkenaan, selain tangkapan polis menjumpai dan merampas tiga botol berisi cecair disyaki dadah jenis ekstasi sebanyak 1.5 liter.

“Hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek, polis melakukan serbuan kedua di tepi Jalan Sutera 3, Taman Sentosa dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan.

“Pemeriksaan ke atas suspek ini membawa kepada penemuan dua katrij vape mengandungi 4 mililiter cecair disyaki ekstasi serta tiga paket serbuk ekstasi seberat 119.50 gram (g),”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, susulan itu, polis melakukan serbuan ketiga ke atas sebuah apartmen di Taman Delima 2 sebelum menemui pelbagai jenis dadah di dalam rumah yang disewa berkenaan.

Jelasnya, dadah yang dirampas ialah 64 peket serbuk mengandungi dadah ekstasi seberat 4.24 kilogram (kg), 132 botol mengandungi cecair ekstasi (112.22 liter), 67 peket dan 20 bekas mengandungi dadah MDMA (19.79kg), 74 katrij vape mengandungi cecair ekstasi (148 mililiter).

Selain itu, turut dirampas 6 peket mengandungi 600 biji pil ekstasi, 12 peket serbuk ketamin serta pelbagai peralatan memproses dadah.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah sebanyak 24.42 kg dan 113.87 liter bernilai RM3.49 juta.

“Modus operandi sindiket ialah menjadikan apartmen yang disewa sebagai tempat membancuh dan memproses dadah sebelum diedarkan ke pelanggan serta pusat-pusat hiburan,”katanya.

Beliau berkata, suspek pertama dan kedua berperanan sebagai pengedar dadah manakala suspek ketiga adalah individu yang berperanan sebagai ‘ahli kimia’ yang membancuh dan memproses dadah-dadah terbabit.

Katanya, sindiket berkenaan sudah aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak Julai lalu selain ujian air kencing mendapati selain kesemua suspek yang berusia 23 hingga 29 tahun itu adalah negatif.

Selain itu, turut dirampas ialah sebuah kereta Volkwagen Passat serta seutas rantai leher bernilai RM55,625.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1852.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |