Bakat perlu digali, bukan ditunggu

6 days ago 14

BILAKAH Malaysia mampu meraih pingat emas Sukan ­Olimpik? Persoalan itu sering menjadi topik hangat dalam kalangan peminat sukan kerana jika diikutkan negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam telah berjaya me­realisasikannya.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan termasuk meningkatkan fasiliti sukan bertaraf dunia, mengimport jurulatih terbaik, menghantar atlet ke peringkat antarabangsa dan mencipta pelbagai program pembangunan, namun hasil diperoleh masih belum memuaskan.

Ratusan juta ringgit telah di­belanjakan sejak penyertaan Malaysia bermula edisi Melbourne 1956 hingga Paris 2024 lalu, kontinjen negara hanya mampu me­raih lapan pingat perak dan tujuh gangsa secara keseluruhan.

Di mana silapnya, adakah Malaysia tidak memiliki atlet berbakat? Adakah pembangunan sukan negara semakin ketinggalan atau budaya sukan tidak tertanam dalam jiwa masyarakat sehingga sukar melahirkan atlet berbakat bertaraf dunia?

Tidak salah jika pihak tertentu memikirkan cara untuk memanfaatkan kepakaran pakar daripada universiti tempatan melalui kajian menyeluruh jenis-jenis sukan berpotensi mampu menje­lmakan pingat buat atlet negara.

Atau mungkin boleh kembali kepada kaedah lama dengan menelusuri bakat-bakat muda dari ceruk-ceruk pedalaman hingga menemui bakat terbaik untuk diketengahkan ke tahap elit.

Majlis Sukan Negara (MSN) mahupun persatuan sukan yang bertangungjawab mencari bintang baharu ini tidak boleh hanya seolah-olah ‘berdiri di tepi sungai menunggu ikan datang’ kerana semua tahu kejayaan tidak datang tanpa usaha.

Olimpian negara, Bryan Nickson Lomas yang juga bekas Pe­ngarah Teknikal Terjun Persekutuan Renang Malaysia (MAS) berkongsi pihaknya telah beralih kepada cara tradisional dengan turun mengesan bakat baharu di pedalaman termasuk pulau-pulau kecil di Sabah dan Sarawak.

“Langkah diambil bagi memberi peluang dan mencari lebih ramai atlet di kawasan pedalaman yang sebelum ini tidak diberi peluang. MSN dan Majlis Sukan Negeri dengan kerjasama MAS turun di negeri-negeri.

SEBAHAGIAN atlet negara sewaktu majlis perasmian Olimpik Paris 2024 pada Julai tahun lalu.

“Dari segi bajet dan fasiliti juga ada yang tidak mencapai stan­dard serta usang, sekali gus menyukarkan pihak kami mengesan bakat-bakat baharu berpotensi.

“Sebab itu persatuan turun ke setiap negeri untuk mencari solusi mengenal pasti masalah yang mereka hadapi. Hasilnya dilihat sewaktu Sukma (Sukan Malaysia) Sarawak, beberapa bakat baharu berpotensi untuk digilap.

“Usaha ini tidak boleh terhenti dan perlu diteruskan dari semasa ke semasa. Jika tiada kesedaran lebih awal, ia bakal mendatangkan kesan dan kemungkinan tiada atlet mampu mewakili negara di persada antarabangsa.

“Menerusi Program Terjun Fast Track, kita juga pergi ke tempat-tempat pedalaman se­perti perkampungan Orang Asli dan idea ini turut dibawa oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk mengesan atlet berbakat di sana,” ­katanya.

Bryan turut berharap negeri-negeri lain mencontohi Sarawak selepas membuktikan kehebatan sebagai ‘kilang’ melahirkan bakat terjun baharu dengan meraih pencapaian cemerlang apabila memenangi sembilan emas, tiga perak dan dua gangsa pada Sukma sebelum ini.

Tambahnya, sudah tiba masanya negeri-negeri lain memperhebatkan usaha mereka, terutama yang sudah mempunyai kemudahan hebat untuk pembangunan sukan.

“Tanpa usaha yang berterusan, kita akan kehilangan peluang untuk mengenal pasti dan menggilap bakat berpotensi yang seharusnya dapat disokong oleh MAS untuk dibawa ke pentas antarabangsa.

“Jika semua negeri dapat bersatu mempertingkatkan usaha pembangunan sukan, kita tidak hanya akan melihat lebih ba­nyak kejayaan di peringkat nasional tetapi juga mampu melahirkan atlet bertaraf dunia yang akan mengharumkan nama ­Malaysia,” ujarnya.

Dengan pendekatan itu, diharapkan Malaysia dapat me­nemui bakat-bakat berpotensi baharu sekali gus memberi harapan untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik akan datang.

Mungkin sudah tiba masanya untuk merombak semula cara membangunkan sukan dan menggali bakat dari akar umbi demi masa depan atlet negara yang lebih gemilang.

Read Entire Article
Pertanian | | | |