PETALING JAYA – Pelakon Afifah Nasir menyambut ulang tahun pertama perkahwinannya dengan berita paling bermakna apabila dia kini hamil cahaya mata sulung hasil perkongsian hidup bersama suami tercinta, Syed Hariz.
Afifah atau nama penuhnya Nur Afifah Md. Nasir, 32, berkongsi khabar gembira itu menerusi hantaran Instagram dengan memuat naik foto imbasan kandungan dan momen romantik mereka di atas bot persiaran.
“Setahun lalu, hanya kami berdua menyulam kisah cinta, helaian demi helaian.
“Kini, sebuah bab baharu bermula apabila hadirnya satu degupan kecil dalam rahimku.
“Anugerah kecil ini, terhasil daripada cinta yang tulus,” tulisnya.
Pelakon Dulu Dollah Daebak itu menyimpan rahsia kehamilan tersebut selama beberapa bulan sebelum memilih ulang tahun perkahwinan mereka, 5 Mei, sebagai detik paling sesuai untuk berkongsi khabar bahagia.
“Selepas beberapa bulan menyimpannya sebagai rahsia kami, saya gembira untuk berkongsi berita ini dengan kalian semua,” ujarnya.
Wajah bahagia pasangan itu jelas terpancar apabila mereka berpelukan sambil menghadap laut luas, melambangkan kebahagiaan luar biasa yang sedang mereka nikmati.
Meskipun tidak mendedahkan usia kandungan, peminat serta rakan selebriti membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah dan doa.
“Semoga kehamilan ini dipermudahkan sampai ke akhir,” titip seorang netizen.
“Alhamdulillah, bahagia tengok pasangan ini. Moga dikurniakan anak soleh atau solehah,” tulis pelakon Intan Najuwa.
“Hadiah terindah bila hamil kan? Perasaan bakal menjadi ibu pasti membuak-buak,” komen pengguna media sosial.
Untuk rekod, Afifah dan Hariz mendirikan rumah tangga pada 5 Mei tahun lalu selepas tiga bulan mengikat tali pertunangan. – KOSMO! ONLINE