PETALING JAYA – Perkongsian lucu seorang jururawat yang membayangkan situasi sekiranya petugas kesihatan dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) mencuit hati ramai pengguna media sosial.
Menerusi hantaran jururawat tersebut dikenali sebagai Mimi Bukhairi yang tular di media sosial, wanita itu berseloroh tentang kekecohan yang mungkin berlaku di hospital jika jururawat hanya memberi arahan dari rumah menerusi panggilan video.
Antara yang disebut dalam gurauan itu termasuk arahan kepada pesakit untuk bangun mengambil ubat di troli, membuka balutan luka sendiri untuk diperiksa, mencuci luka seperti yang diajar sebelum ini, malah meminta waris membantu memeriksa lampin pesakit dan menguruskan keperluan lain.
“Sejak Perdana Menteri kita umum WFH (work from home) ni, sebelum tidur aku selalu terbayang kalaulah aku kerja dari rumah. Apa lah jadi pesakit.
“Aku buat Zoom dari rumah. ‘Dengar sini semua hari ini misi kerja dari rumah. Dengar arahan dari saya elok-elok. Pakcik Ahmad bangun masa makan ubat, bangun pergi ambil dekat troli, Pakcik Husin buka balut luka tu, misi nak tengok lepas tu jangan lupa cuci luka macam misi ajar hari tu,” tulisnya.
Tidak cukup itu, dia turut berjenaka kononnya waris perlu mengambil mesin dialisis untuk pesakit, selain meminta semua pesakit menunggu giliran ‘syif jururawat petang’ selepas waktu tugasnya tamat.
Menurutnya, situasi sedemikian mustahil berlaku kerana peranan jururawat amat penting dalam memastikan kelancaran operasi rawatan di hospital.
“Ish lah kalau benda ni terjadi bagaimana lah pesakit-pesakit aku hahaha. Tanpa jururawat hospital lumpuh. Berangan tu percuma. Tak mungkin tak akan terjadi,” katanya.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-ratanya terhibur, namun dalam masa sama mengakui profesion jururawat sememangnya memerlukan kehadiran fizikal, komitmen tinggi dan pengorbanan besar.
“Alahai kalau jururawat kerja dari rumah, huru hara hospital. Khidmat mu amat diperlukan. Saya pernah jaga mak kat hospital pun rasa penat. Tengok misi dengan doktor lalu lalang lagi lah penat,” komen Sal Na.
“Lucu lucu baca komen jururawat semua. Besar pengorbanan kamu semua. WFH tak mungkin terjadi tapi kalau Work From Hospital ya,” komen Wan Zaliha pula. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
6





![[VIDEO] ‘Di kala PMX pesan jimat cermat, open house tetap on’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/jalan-sesak.jpeg)
![[VIDEO] ‘Terima kasih pinjamkan Amirul Ashraf’, bapa setia hingga ke liang lahad](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/lemas.jpeg)










































