BALING – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) menghembuskan nafas terakhirnya ketika dirawat di Hospital Baling awal pagi tadi selepas terlibat kemalangan di Jalan Batu 42-Sungai Limau, di sini kelmarin.
Mangsa, Muhammad Armin Abdullah, 22, yang mengalami kecederaan patah tangan dan kaki kiri akibat kemalangan itu dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 5 pagi tadi.
Dia dikatakan terlibat kemalangan kira-kira pukul 5.30 petang ketika dalam perjalanan untuk menguruskan penyimpanan peralatan kayak yang digunakan dalam program APM bersama Kelab Media Elit Kedah (KMEK).
Menurut ibu arwah, Aniza Mohd Taib, 49, dia terkejut kerana anak ketiga daripada empat beradik itu masih boleh bercakap dan membalas pesanan WhatsApp ketika ditempatkan di wad hospital selepas kejadian.
“Sebelum kejadian, arwah sempat membantu mangsa kemalangan di Kampung Sungai Limau. Saya tak sangka (meninggal dunia) kerana dia hanya mengalami kecederaan patah tangan dan kaki kiri,” katanya di sini hari ini.
Katanya, tiada perubahan ketara yang ditunjukkan anaknya itu, namun sejak kebelakangan ini dia rajin membantu rakan sepasukannya dalam kes-kes kemalangan dan aktiviti lain walaupun tidak bertugas pada hari tersebut.
“Selepas Armin bantu mangsa kemalangan pada petang itu, dia sempat singgah di rumah dan bersalaman dengan saya serta meminta izin untuk terus bertugas. Tidak sampai lima minit dia keluar, penduduk kampung beritahu Armin kemalangan,” ujarnya.
Sementara itu pasangan kembar Armin, Nur Aina Tasmin Abdullah, 22, berkata, dia sempat berbalas WhatsApp dan meminta arwah supaya bersabar menunggunya pulang.
“Semalam memang saya dalam perjalanan pulang ke kampung dari Rawang, Selangor untuk menziarahinya. Tidak sangka pagi tadi abang pergi buat selama-lamanya kerana saya rasa baru sahaja minta dia sabar tunggu saya dan abang hanya membalas ya.
“Tidak sangka saya saya pulang hanya untuk melihat jasadnya yang kaku,” jelasnya yang merupakan guru tadika.
Tambahnya, dia sedih kerana hubungan mereka sangat rapat kerana arwah seorang yang ceria dan suka mengusiknya.
Sementara itu, Pegawai APM Daerah Baling, (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, mereka kehilangan seorang anggota yang rajin dan berdedikasi serta baik dengan semua orang, ceria dan sentiasa membantu kawan-kawan.
“Ketika kejadian itu, Armin dalam perjalanan ke tempat kayuhan kayak program APM Kedah bersama KMEK untuk menyimpan kayak dan segala peralatan yang telah digunakan.
“Kami tidak menyangka dia sendiri terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kaki dan tangan kiri patah, keadaannya menjadi kritikal pada pukul 3 petang semalam apabila tahap oksigennya turun mendadak sehingga terpaksa dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU),” katanya.
Tambahnya, jenazah arwah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Limau. – KOSMO! ONLINE