ALOR SETAR – Seorang gadis membuktikan bahawa kemiskinan keluarga tidak pernah menjadi halangan kepadanya untuk bergelar penuntut cemerlang dalam pengajiannya di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), di sini.
Malah bagi Fazlina Muhammad Amin Yeap, 25, dari Kota Bharu, Kelantan, ia menjadi inspirasi kepadanya untuk berusaha keras sehingga mampu bergelar penerima Anugerah Sharifah Rokiah dan Anugerah Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen Keempat AIU, di sini hari ini.
Fazlina yang merupakan anak kepada pengutip sampah itu memberitahu, membesar dalam keluarga yang serba kekurangan membuatkan dia berusaha keras untuk berubah bagi membalas jasa ibu bapanya.
“Saya tidak malu untuk mengaku sebagai anak kepada pengutip sampah kerana itu yang memberi kekuatan kepada saya untuk berusaha keras dan belajar bersungguh-sungguh.
“Sewaktu sekolah rakan-rakan lain keluar bermain tetapi saya pula membantu ayah untuk mengutip sampah. Ayah selalu berkata, walau apapun kita tidak boleh lupa siapa kita. Saya ingin membalas pengorbanan mereka dan bersyukur kerana AIU memberi saya peluang ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen tersebut.
Bercakap tentang rahsianya, graduan itu menambah, untuk cemerlang dia bukan sahaja perlu menjadi terbaik dalam bidang akademik tetapi kokurikulum di luar kampus.
“Saya terlibat dalam beberapa kertas penyelidikan dan Persidangan Pemasaran 2024. Saya juga terpilih sebagai penceramah untuk pembentangan di Hari Bisnes Sosial di Filipina.
“Dahulu sebelum ke AIU saya seorang yang tidak fasih berbahasa Inggeris pun tetapi saya berusaha untuk memahirkan diri. Alhamdulillah, saya berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana pula selepas ini,” kata graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan ini.
Sementara itu penuntut dari Myanmar, Nyi Nyi Nay Naing, 23, mencatatkan rekod apabila bergelar penerima sulung Anugerah Canselor pada majlis konvokesyen tersebut.
Berasal dari sebuah kampung terpencil di Rakhine, Naing yang juga dikenali sebagai Ali memperoleh anugerah tersebut atas kecemerlangannya dalam akademik, kepimpinan dan khidmat masyarakat sepanjang pengajian dalam bidang Sains Komputer.
Menurut Ali, dia melahirkan kesyukuran kerana pengorbanannya berjauhan dengan keluarga sejak tujuh tahun lepas berbaloi apabila mendapat pengiktirafan tersebut.
“Saya meninggalkan kampung untuk ke Yangon pada 2018 dan tidak kembali selepas itu semata-mata kerana ingin menuntut ilmu. Kampung saya terperangkap di tengah-tengah pergolakan yang berlaku di Myanmar dan sukar untuk saya meneruskan pendidikan di situ.
“Alhamdulillah, saya menerima biasiswa dari Yayasan Albukhary untuk belajar di AIU. Saya ingin memastikan pengorbanan itu berbayar dan berusaha keras sehingga satu hari nanti saya dapat pulang bertemu keluarga,” katanya yang konsisten meraih tempat dalam senarai dekan sepanjang pengajian. – KOSMO! ONLINE