Anak kecil jangan campur urusan orang – Yusof Azmi

13 hours ago 4

PETALING JAYA – Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan), Yusof Azmi tampil memberi reaksi berbeza terhadap teguran yang dibuat atlet seni bela diri negara, Johan Ghazali berhubung Kejohanan Warzone World Championship (WWC) yang dianjurkannya.

Semalam, Johan menerusi hantaran di media sosial menegur penganjuran acara tersebut yang didakwa tidak menepati piawaian dan boleh menjejaskan imej sukan tempur tempatan. Teguran itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen termasuk penyokong kedua-dua individu berkenaan.

Hari ini, Yusof dalam kenyataan balasnya menegaskan bahawa kejohanan berkenaan tidak menggunakan sebarang dana atau tajaan daripada mana-mana pihak luar, termasuk Johan sendiri.

“Maafkan saya anak kecil, adakah acara ini ada menggunakan dana atau tajaan daripada awak? Kalau ada, maklumkan kepada saya.
Tapi kalau tiada, lebih baik jaga urusan awak sendiri. Warzone tak pernah mengganggu hidup awak,” katanya menerusi satu hantaran tegas di media sosial.

Yusof turut mempersoalkan tindakan Johan yang dianggap mencampuri urusan orang lain, sedangkan dirinya tidak pernah mengganggu kerjaya atau kehidupan atlet tersebut.

“Kalau awak rasa ada saham, barulah awak buka mulut. Belajarlah jangan jadi manusia yang berdengki dengan orang. Saya tak pernah ganggu hidup awak, jadi jangan ganggu urusan Warzone dan saya,” ujarnya lagi.

Menurut Yusof, penganjuran Kejohanan Warzone bertujuan memberi peluang kepada anak muda menonjolkan bakat dalam sukan tempur dan seni bela diri tempatan, bukan untuk menyaingi mana-mana organisasi.

Terdahulu, Johan menegur kejohanan WWC telah merosakkan sukan bela diri yang diminatinya apabila mencampurkan elemen kekejaman dan lakonan untuk mempromosi dan memperkenalkan kejohanan tersebut.

Johan beranggapan cara tersebut bakal merosakkan sukan tersebut apabila ditonton oleh generasi muda. Menurut Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo, teguran itu bukan untuk menunjukkan sikap kurang ajar dengan orang lebih dewasa.

“Tapi kalau orang tua perangai macam budak sapa nak hormat. Jojo, family (keluarga) Jojo and ramai lagi orang orang dalam komuniti combat sports (sukan tempur) ada dalam bidang ni lama sebelum pakcik (Yusof Azmi) datang.

“Kita naikkan Muay Thai dari 0 (tiada apa-apa), pakcik datang bila dah hype (terkenal) pastu buat perangai bangang, sapa tak marah pakcik,” luah Jojo. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |