‘Anak-anak terutama yang sulung tahu kami nak bercerai’

2 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Pelakon Linda Hashim mendedahkan anak sulungnya, Jelita Clarissa yang berusia 11 tahun sedia maklum dia dan suami, Beego kini dalam proses perceraian.

Linda atau nama sebenarnya, Norhazlinda Hashim, 41, berkata, puterinya itu memahami keadaan rumah tangga kedua-dua orang tuanya sejak mereka berpisah buat kali pertama sekitar 2023.

“Anak-anak tahu, terutama yang sulung (Jelita Clarissa) kerana saya menyedari hal itu sejak perpisahan kami yang pertama.

“Dia ada bagi semangat kepada saya untuk lalui semula situasi sama. Mereka (anak) sumber kekuatan kepada saya,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.

Mengenai penjagaan tiga permata hati, Linda berkata, buat masa ini kesemua anak di bawah jagaannya namun tiada halangan Beego berjumpa zuriat mereka.

“Peluang untuk dia jumpa anak-anak, tetap ada. Dia (Beego) pun ada jumpa saya pun ada. Saya tiada halangan (Beego jumpa anak). Memang anak-anak dengan saya sepanjang masa.

“Bila dia datang nak jumpa anak, saya tak pernah halang,” katanya.

Menurut pelakon filem Syaitan Munafik itu, Beego juga ada membuat permohonan maaf kepadanya yang boleh dikatakan sebagai proses memujuk.

Hari ini, Linda ditemani peguamnya, Nurul Fadzilah Kamaluddin hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi untuk mengikuti sebutan kes pertama perceraian dengan Beego.

Sebelum ini, mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mereka rujuk semula pada 9 April 2023.

Linda turut memaklumkan mereka bercerai kali kedua selepas beberapa bulan rujuk kerana masalah sama iaitu tiada persefahaman walaupun mendakwa sudah banyak kali memberikan suaminya peluang.

Terdahulu, Linda dan Beego atau nama sebenarnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata perempuan, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |