Ambil pendekatan selesaikan masalah tanpa hasutan, kebencian – Anwar

6 hours ago 5

SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua rakyat mengambilkan pendekatan secara menyeluruh dan penyelesaian yang tidak berasaskan hasutan atau kebencian demi memelihara perpaduan kaum di Malaysia.

Anwar berkata, negara akan kekal stabil dan aman sekiranya rakyat hidup bersatu dalam suasana harmoni, tanpa menimbulkan sebarang kepincangan.

Menurutnya, semua pemimpin diminta menggalas tanggungjawab menggunakan kuasa yang diberi dan bukan untuk diri sendiri tetapi untuk membantu rakyat.

“Kalau orang atas menghasut, orang bawah membenci…akhirnya timbul ketegangan. Mereka kata jaga orang Melayu, tapi harta diagih sesama mereka.

“Kita bukan mahu abaikan Melayu, kita jaga Melayu, tetapi juga Cina, India, Iban, Kadazan. Mereka semua rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di Stadium Negeri Batu Kawan di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya lagi, beliau kerap mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin negeri bagi menyelesaikan masalah di akar umbi.

“Dari Perlis sampai ke Sabah dan Sarawak. Semua akan kemukakan masalah, semua mahukan peruntukan. Kita mesti selesaikan melalui rundingan. Tanggungjawab kita ialah jaga negara ini. Saudara ingat, dengan tunjuk perasaan, Perdana Menteri boleh letak jawatan?.

“Malaysia telah mendapat penghormatan antarabangsa. Tapi ingat…membina negara ambil masa. Meruntuhkannya mudah. Siapa yang tidak boleh tukar kerajaan…boleh. Bawa usul hilang kepercayaan di Parlimen.

“Saya harap semua pihak terus beri kerjasama. Jangan cepat marah. Saya tahu rakyat mahu penyelesaian segera,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan Negara bagi tujuan pelaksanaan program-program kenegaraan untuk generasi muda. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |