Amaran awal Hakim Danish di Moto3

2 weeks ago 16

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli mempersembahkan aksi cukup positif apabila berjaya mengutip mata pertamanya dalam saingan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) selepas menamatkan Grand Prix (GP) Portugal di kedudukan ke-12.

Anak jati Terengganu berusia 18 tahun itu membuktikan kemampuannya dengan tunggangan berani di Litar Antarabangsa Algarve kelmarin untuk membawa pulang empat mata berharga.

Meskipun terbabit kemalangan pada sesi kelayakan yang menyebabkannya bermula dari petak ke-17, Hakim Danish tidak patah semangat dan perbaiki tunggangannya.

Hakim Danish yang bersaing bersama FRINSA -MT Helmets -MSI berjaya memintas beberapa pelumba lain, termasuk seteru utamanya di Red Bull MotoGP Rookies Cup, Brian Uriarte untuk menempatkan diri dalam kelompok 15 terbaik.

“Saya sangat menikmati perlumbaan sebenar walaupun masih banyak perkara perlu tingkatkan. Perlumbaan agak mencabar kerana rentak di awal saingan sangat laju dan saya cuba untuk kekal bersama kelompok hadapan.

“Saya akan jadikan perlumbaan di Portimao ini sebagai pengalaman berharga dan bersiap sedia untuk menghadapi aksi seterusnya di Valencia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hakim Danish juga mahu memperbaiki tungangannya terutama pada aksi sesi kelayakan.

“Dalam sesi kelayakan (Sabtu), saya melakukan sedikit kesilapan apabila masuk ke selekoh terlalu laju hingga terbabas keluar laluan. Selepas itu, saya kembali ke pit untuk menukar tayar dan hanya sempat membuat satu pusingan terakhir.

“Ia menjadi pengalaman berharga buat saya. Saya sedar perlu memperbaiki prestasi dalam sesi kelayakan akan datang supaya dapat bermula dari petak yang lebih baik,” katanya.

Hakim Danish yang menggantikan Ryusei Yamanaka kerana kecederaan, akan mengalihkan fokusnya kepada pusingan terakhir musim di GP Valencia dari 14 hingga 16 November ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |