SEPANG – Pelawak, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, atau dikenali sebagai Along Cham terus sujud syukur di kandang tertuduh sejurus Mahkamah Seksyen di sini, hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) atas tuduhan memiliki dadah jenis kanabis pada 14 Disember lalu.
Bagaimanapun, Along Cham kemudian dituduh di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan masing-masing memiliki dadah dan mengambil dadah.
Terdahulu di Mahkamah Seksyen, Hakim Ahmad Fuad Othman memutuskan pertuduhan terhadap Along Cham sebagai DNAA.
“Pertuduhan kamu di bawah Seksyen 39A (2) ini DNAA. Kemudian kamu akan dituduh di Mahkamah Majistret dan tuduhan ke atas kamu diturunkan,” katanya.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya memohon pendakwaan tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Majistret untuk dituduh mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952 susulan hasil laporan kimia.
Sebelum ini, Along Cham didakwa atas tuduhan memiliki dadah seberat 58.23 gram di sebuah rumah di Cyber 9, Cyberjaya, pada 14 Disember lalu, namun Along Cham mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan dan mahkamah menetapkan tertuduh tidak boleh dijamin kerana seksyen itu adalah kesalahan tidak boleh dijamin.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, Along Cham berdepan dua pertuduhan masing-masing memiliki dadah jenis kanabis seberat 49.61 gram dan mengambil dadah jenis tetra hydrocannibol (THC).
Mengikut pertuduhan pertama, Along Cham dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan dihukum mengikut Seksyen 39A(1) ADB Akta yang sama.
Bagi pertuduhan kedua, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Along Cham didapati memasukkan dadah jenis THC dan oleh itu dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) dan dibaca bersama bersama Seksyen 38B akta sama.
Sebaik pertuduhan dibacakan, Along Cham mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Husain kemudian meminta tertuduh dikenakan wang jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Peguam tertuduh, Kamal Hisham Jaafar kemudian meminta mahkamah meringankan wang jaminan kepada RM4,000 atas pelbagai alasan. – KOSMO! ONLINE