Along bakar kereta, ancam nyawa seisi keluarga

3 days ago 7

KUALA LUMPUR – “Tiba-tiba kami terbau asap dan lihat kereta di parkir rumah sedang marak terbakar. Asap mula memenuhi dalam rumah. Kami bergegas keluar ikut pintu belakang untuk menyelamatkan diri.”

Demikian peristiwa menakutkan dihadapi sebuah keluarga di Kampung Baru Ampang di sini apabila rumah mereka diserang sindiket peminjam wang tidak berlesen kira-kira pukul 2.10 pagi pada 20 Mac lalu.

Kejadian itu menyebabkan keluarga terbabit terpaksa meninggalkan kediaman berkenaan dan menyewa sebuah rumah lain kerana bimbangkan keselamatan mereka yang kini diancam along.

Salah seorang ahli keluarga tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Leong, 29, berkata, terdapat empat individu termasuk ibunya berusia 70 tahun berada dalam rumah ketika kejadian.

“Saya tiada di rumah ketika itu, selepas dapat panggilan daripada ibu saya terus pulang dan mendapati kereta Mercedes kami sudah terbakar dan rumah dipenuhi asap.

Kereta mangsa didakwa dibakar oleh along.

“Saya menemui nota dilekatkan pada tembok pagar rumah bertulis ‘This is warning next time come again your house make sure got problem’ sebelum membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini hari ini.

Leong berkata, nota ancaman tersebut turut tertera nama peminjam iaitu Wong yang merupakan sepupunya yang sudah lama mereka tidak temui dan kini berada di negara jiran.

Menurutnya, dia kemudian menghubungi Wong dan sepupunya itu mengakui membuat pinjaman peribadi wang Singapura sebanyak SG$500 yang ditawarkan secara dalam talian.

Keadaan kereta mangsa yang didakwa dibakar oleh along.

Katanya, Wong bagaimanapun mendakwa telah membuat bayaran balik pinjaman sebanyak SG$700, tetapi peminjam masih menuntut bayaran sebanyak SG$5,000.

Justeru, Leong melahirkan rasa hairan dan kesal apabila keluarganya menjadi mangsa ancaman along sedangkan pinjaman tersebut bukan dibuat oleh mereka.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaysia, Datuk Seri Michael Chong berkata, mangsa membuat laporan polis pada pukul 3.38 pagi semasa hari kejadian.

“Saya berharap polis tidak hanya menyiasat kes ini dibawah jenayah kewangan, tetapi kerana cubaan membunuh.

“Kereta dibakar dan rumah juga nyaris terbakar. Ini cubaan membunuh. Jika kesemua mangsa tidak perasan kejadian itu, mereka boleh mati akibat kebakaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |