RANTAU PANJANG – Semua kelengkapan sekolah milik seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang habis ditenggelami air sejak banjir melanda rumahnya di Kampung Banggol Kulim, di sini lima hari lalu.
Keadaan itu menyebabkan Nur Intan Lydiana Mahrulsulam,17, tiada langsung alat tulis yang boleh digunakan semasa menjawab SPM esok.
Menurutnya, dia bernasib baik apabila ada rakan-rakannya yang memberi pinjam alat tulis untuk digunakan semasa menduduki peperiksaan.
“Semua kelengkapan sekolah tenggelam akibat banjir di rumah. Mujur ada kawan-kawan yang membantu beri pinjam alat tulis.
“Persiapan saya untuk SPM juga ala kadar. Hanya lilin yang saya gunakan untuk mengulang kaji pelajaran pada setiap malam kerana bekalan elektrik terputus sejak beberapa hari lalu,” katanya katanya ketika ditemui pemberita sebelum menaiki trak Angkatan Tentera (ATM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi di sini hari ini.
Remaja itu merupakan salah seorang daripada 189 calon dari SMK Rantau Panjang terjejas banjir yang dipindahkan dengan menaiki trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke tiga buah sekolah iaitu SMK Pasir Mas, SMK Sultan Ibrahim 1 dan SMK Sultan Ibrahim 2 untuk menduduki SPM esok.
Nur Intan Lydiana memberitahu, dia juga kurang yakin untuk menjawab SPM kerana fokusnya terganggu akibat banjir.
Menurutnya, pertukaran pusat peperiksaan dari SMK Rantau Panjang ke sekolah lain di Pasir Mas juga mengganggu ‘mood’ untuk menjawab SPM.
“Saya terpaksa berjauhan dengan keluarga semasa menduduki SPM. Sebelum ini, memang saya tinggal di asrama, tetapi sekolah dekat dengan rumah.
“Kali ini, saya terpaksa jauh dengan mereka. Keluarga juga tidak boleh datang melawat kerana mereka juga terjejas banjir,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE