KOTA TINGGI – Desaru Coast dan Boxtomoi Asia bakal melancarkan aksi pertarungan sukan Muaythai Coastal Combat 2026 sekaligus menghangatkan kempen Visit Johor 2026.
Acara yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 24 Januari 2026 itu menjadi pertandingan sukan pertama membuka tirai program pelancongan mega negeri Johor tahun depan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Coast, Izrin Hashim, Coastal Combat 2026 bukan sekadar gelanggang pertarungan, malah digarap sebagai festival hujung minggu yang menyatukan aksi sukan tempur, hiburan dan tarikan pelancongan dalam satu destinasi tepi pantai.
“Desaru Coast yang terkenal dengan resort mewah dan pantai yang memutih kini memanfaatkan kelebihan tersebut untuk menjadi hub pelancongan sukan serantau yang mampu menarik pengunjung dari seluruh ASEAN.
“Acara ini sebagai meneruskan momentum penganjuran acara global seperti IRONMAN dan L’Étape by Tour de France yang telah melonjakkan nama Desaru Coast ke peringkat antarabangsa. Kami membawa sukan tempur ini dengan standard baharu dan bersedia menjadi lokasi ikonik bagi penganjuran acara multi-sport serta MICE,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Muaythai Malaysia, Datuk Paduka Shahnaz Azmi, pula menyifatkan Coastal Combat sebagai platform penting untuk memartabatkan Muaythai Malaysia serta melahirkan atlet berdaya saing tinggi.
Beliau berkata, penganjuran bersama Boxtomoi Asia menandakan permulaan era baharu kerana format pertandingan dan hiburan yang ditawarkan lebih segar dan moden.
Dalam pada itu, Pengarah Boxtomoi Asia, Nor Afandi Nor Hosni berkata, acara berkenaan turut membawa konsep rancangan realiti sukan yang menggabungkan penceritaan, budaya dan elemen pelancongan bagi menarik generasi penonton baharu.
Menurutnya, penonton bukan sahaja akan melihat aksi pertarungan, malah mengikuti perjalanan dan latihan atlet melalui siri khas Coastal Combat Desaru Coast 2026 yang merangkumi empat episod.
“Dengan gabungan sukan tempur, festival pantai dan infrastruktur bertaraf dunia, Coastal Combat 2026 dijangka memperkukuh reputasi Desaru Coast sebagai pentas global yang mengangkat Malaysia sebagai destinasi sukan pesisir utama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

48 minutes ago
1









![[VIDEO] ‘Pengajaran paling bernilai dia dapat, gunakanlah seat belt’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-03-at-10.49.31-AM.jpeg)







































