MELAKA – Keadaan semakin cemas untuk rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai, termasuk 10 sekeluarga dari Melaka apabila situasi banjir dilaporkan terus memburuk dengan kini mencecah paras pinggang.
Kebanyakan hotel di bandar itu juga dilaporkan telah memutuskan bekalan elektrik susulan bencana tersebut.
Salah seorang mangsa, Muhammad Hazwan Zammizi, 29, ketika dihubungi Kosmo! memaklumkan, dia bersama sembilan ahli keluarga yang lain terkandas di sebuah hotel di tengah bandar Hatyai dan tidak dibenarkan untuk turun ke lobi bagi memantau keadaan semasa.
Katanya, pihak hotel juga telah memutuskan bekalan elektrik beberapa kali dipercayai bagi menjaga keselamatan para tetamu.
“Kami tiba di Hatyai pada pukul 11 pagi semalam dan ketika itu hujan tidak begitu lebat, situasi bertukar buruk pada pukul 1 pagi tadi apabila air mula naik pada paras lutut dan pihak hotel minta kami alihkan kereta dari parkir bawah tanah ke kawasan lebih tinggi.
“Mujur ada keluarga yang bawa pacuan empat roda jadi saya pandu Honda Jazz harung air banjir di belakang pikap untuk ke kawasan lebih tinggi,” katanya.
Tambahnya, dia sekeluarga merancang untuk bermalam di Hatyai bagi satu malam sahaja dan sepatutnya kembali ke Malaysia hari ini.
Jelasnya, apa yang membimbangkan keluarganya ketika ini adalah bekalan minuman yang terhad kerana pihak hotel hanya memberikan dua botol mineral kecil bagi setiap bilik.
“Saya bersama isteri, ayah dan ibu serta adik-beradik dengan pasangan masing-masing, kami ambil lima bilik jadi setiap kami dapatlah air mineral botol kecil.
“Bekalan air itu dihantar pada pukul 8 pagi tadi dan selepas itu kami ada minta tapi tak dapat, kami bimbang kerana air banjir semakin naik dan terkandas di negara asing. Jadi, saya mohon pertolongan pihak berwajib untuk bantu kami,” ujarnya.
Jelasnya, ibu dan bapanya yang masing-masing berumur 51 serta 59 tahun turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, namun setakat ini bekalan ubat masih mencukupi. – KOSMO! ONLINE

1 week ago
15










![[VIDEO] ‘Sedihnya…Tok Wan Jagung Gurun dah tinggalkan kita’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/tok-wan-jagung.jpeg)






![[VIDEO] Positif dadah, pemandu lori lawan arus 150 km ditahan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/lori-lawan-arus.jpeg)

![[VIDEO] ‘Bukan pandang belakang kak, pandang depan’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/konvo-utim.jpeg)





























