Agihan wakalah PPZ-MAIWP melonjak RM239 juta

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Jumlah agihan wakalah Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencecah RM239 juta setakat Oktober lalu sekali gus menunjukkan lonjakan 32 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, skim wakalah ini bukan sekadar mekanisma pengagihan zakat tetapi turut mejadi wadah untuk menyampaikan kepda yang memerlukan.

“Skim wakalah juga membuka ruang kepada setiap pembayar zakat untuk turut serta dalam memastikan dana zakat mereka sampai kepada golongan yang memerlukan. Ianya secara tidak langsung membina kesedaran sosial dan tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin pada program Wakalah Talk & Pelancaran My Wakalah 2.0 di Bangsar, hari ini.

Menurut Mohd Na’im, peningkatan ketara itu membuktikan keyakinan pembayar zakat terhadap sistem wakalah semakin kukuh, selain kesedaran masyarakat untuk turut serta membantu golongan memerlukan.

Jelasnya, kira-kira 400 peserta terdiri daripada pemegang wakalah individu dan syarikat hadir bagi mengikuti sesi pencerahan berkaitan pelaksanaan Skim Wakalah yang memasuki tahun keempat penganjurannya.

Beliau menegaskan, di sebalik pembangunan pesat ibu kota, masih wujud kelompok miskin bandar yang bergelut menampung kos sara hidup dan pendidikan anak-anak.

“Mereka ini sering tidak terlihat, tetapi keperluan mereka nyata. Dana zakat mesti diagih secara tepat dan berstruktur kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Tambahnya, MAIWP dan PPZ-MAIWP komited mendokong hasrat Perdana Menteri untuk menoktahkan kemiskinan di Wilayah Persekutuan melalui penambahbaikan pelbagai program bantuan asnaf.

Dalam majlis sama, PPZ-MAIWP turut melancarkan Aplikasi MyWakalah 2.0, platform sehenti yang memudahkan pemegang wakalah mengurus permohonan, semakan, serta agihan secara digital tanpa perlu proses manual.

Versi terkini aplikasi itu menampilkan sistem pintar yang diintegrasikan dengan pangkalan data dalaman PPZ-MAIWP bagi memastikan transaksi lebih telus, tepat dan terkini. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |