PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi berjumlah RM3 juta kepada isteri aktivis Amri Che Mat dan RM10,000 sehari kepada keluarga Pastor Raymond Koh.
Dalam kenyatannya hari ini, AGC akan memfailkan rayuan yang mana tindakan itu dibuat selepas mempertimbangkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut semalam.
“Setelah meneliti dan mempertimbangkan keputusan Yang Arif Hakim, jabatan ini (AGC) akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut,” kata kenyataan itu.
Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan PDRM dan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi berjumlah RM3 juta kepada isteri Amri apabila memutuskan kedua-dua pihak itu bertanggungjawab secara tidak langsung ke atas kehilangan lelaki terbabit.
Hakim Datuk Su Tiang Joo turut mengarahkan PDRM membuka semula siasatan kehilangan Amri bermula hari ini dan melaporkan perkembangan kepada Peguam Negara (AG) setiap dua bulan.
Sebelum ini, isteri Amri iaitu Noorhayati Mohd Ariffin memfailkan saman terhadap kerajaan, polis dan empat yang lain pada 18 November 2019 dan menuntut ganti rugi teruk dan teladan atas kerugian yang dialaminya akibat kehilangan Amri pada tahun 2016 .
Dia pada mulanya memfailkan saman terhadap 21 defendan. Namun sebelum membaca penghakiman hari ini, mahkamah mengesahkan dengan peguam Noorhayati, Surendra Ananth, bahawa dia telah menggugurkan saman terhadap 15 individu, termasuk Ahmad Zahid Hamidi, yang merupakan Menteri Dalam Negeri antara 16 Mei 2013 hingga 9 Mei 2018.
Sementara itu di mahkamah sama, Hakim Tiang Joo turut memerintahkan kerajaan dan PDRM membayar ganti rugi RM10,000 sehari kepada keluarga Pastor Raymond bermula kehilangannya selepas diculik, lapan tahun lalu.
Mahkamah turut mengarahkan ganti rugi RM10,000 itu bermula kehilangan lelaki itu pada 13 Februari 2017 hingga polis mendedahkan keberadaannya.
Untuk rekod Raymond diculik ketika sedang memandu di Petaling Jaya namun sehingga kini, beliau hilang selama 3,188 hari.
Pada masa sama, mahkamah memutuskan, satu atau lebih defendan, yang terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terlibat dalam penculikan Raymond dan bertindak mengikut ‘satu arahan’.
Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa lima lelaki bertopeng dengan pakaian seragam tentera berwarna hitam menarik Raymanod keluar dari keretanya.
Isterinya Susanna Liew memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan atas penglibatan kerajaan dalam kehilangannya serta cara pihak berkuasa menyiasat kes itu. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
3









![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)







































