MELAKA – Keadaan kesihatan kanak-kanak penghidap penyakit biliary atresia (BA), Nur Asyura Medina Muhammad Ikmal Haziq, 2 tahun 5 bulan, yang menjalani pembedahan pemindahan hati di sebuah hospital di Shanghai, China terus menunjukkan perkembangan positif dan dijangka dibenarkan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.
Perkara itu dimaklumkan oleh bapanya, Muhammad Ikmal Haziq Mazlan, 25, yang memberitahu keadaan anaknya semakin stabil selepas menjalani pembedahan berkenaan pada 23 Disember lalu.
Menurutnya, walaupun tarikh sebenar kepulangan belum dimaklumkan oleh pihak hospital, doktor memaklumkan Medina berada dalam fasa pemulihan yang baik.
“Insya-Allah dalam masa terdekat ini (pulang ke Malaysia). Kami belum dapat apa-apa maklumat (tarikh) lagi bila akan balik tetapi dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Dalam pada itu, dia memberitahu keluarganya menerima kunjungan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang terbang ke Shanghai bagi menziarahi Medina, hari ini.
Ujarnya, Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau tiba di hospital kira-kira pukul 11.30 pagi bersama isterinya, Datin Dr. Fatin Nadhirah Idrus dan ahli keluarga yang lain.
“Dr. Akmal luangkan masa lebih sejam bersama Medina sebelum beliau bergerak pulang,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! pada 22 Disember lalu melaporkan rayuan Muhammad Ikmal kepada seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan kelancaran prosedur pembedahan pemindahan hati anaknya yang dijadualkan berlangsung di Hospital Shanghai, China.
Beliau yang mendermakan sebahagian hatinya kepada Medina sebelum ini memaklumkan, doktor memberikan prognosis 50-50 berikutan keadaan hati kanak-kanak itu yang sudah mula mengeras kerana pembedahan sepatutnya dilakukan ketika usia setahun tetapi dana tidak mencukupi.
Ujarnya, kos bagi pembedahan tersebut bagaimanapun berjaya ditampung dengan sebahagian besar dana disumbangkan oleh Dr. Muhamad Akmal berjumlah RM120,000, manakala RM62,000 lagi diperoleh menerusi sumbangan orang ramai melalui Yayasan Nanyang Press.
Pembedahan tersebut berjaya dilaksanakan tanpa sebarang komplikasi, namun Medina ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi pemantauan lanjut dan ditidurkan selama empat hari susulan penemuan kuman di paru-parunya. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
6

















































