‘Ada gula-gulakan RM1,000 untuk saya merokok semula’

1 month ago 39

KUALA LUMPUR – Nekad untuk berhenti merokok sejak beberapa bulan lalu, penyanyi Datuk Hattan, mengakui berat badannya bertambah sebanyak empat kilogram (kg).

Bagaimanapun, Hattan atau nama sebenarnya Mohd. Shukri Shahabudin, 59, berkata, kesihatan dan staminanya semakin baik meskipun berdepan cabaran awal sebaik meninggalkan tabiat buruk itu.

“Saya berhenti merokok sejak kematian adik pada April lalu. Alhamdulillah, sejak itu saya tidak menyentuh rokok lagi.

“Dua minggu pertama memang sukar, tangan menggigil dan emosi bercampur-baur, tetapi sekarang keadaan sudah stabil.

“Walaupun badan naik mendadak dan pinggang sudah mencecah 36 inci, saya gembira kerana pernafasan menjadi lebih baik.

“Malah, saya boleh menyanyikan lagu dengan nada tinggi tanpa sebarang masalah,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pelantun lagu Mahligai Syahdu itu tidak menafikan terdapat godaan dan gurauan daripada rakan-rakan yang cuba memujuknya kembali kepada tabiat lama.

“Memang ada kawan yang cuba menggula-gulakan saya sampai sanggup menawarkan RM1,000 jika saya merokok semula.

“Namun, syukur saya sudah nekad. Isteri saya juga banyak bantu. Dia selalu berleter dan ingatkan agar jangan sentuh rokok lagi. Itu yang buat saya lebih kuat,” kongsinya.

Hattan juga menjelaskan keputusan untuk berubah didorong rasa insaf selepas pemergian adik tercinta, Allahyarham Mohd Hatta, 46, yang merupakan perokok tegar.

“Adik saya kuat hisap rokok boleh dikatakan berkotak-kotak tiap hari tapi bukan saya katakan puncanya sebab rokok.

“Tapi dulu memang dia walaupun buka puasa pun dengan rokok dulu.

“Melihatkan semua itu, saya tiap-tiap hari doa untuk henti rokok selepas adik ‘pergi’,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Hattan bakal mengadakan konsert Hitam Manis bersama Hazama dan Black Hanifah di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8 Februari tahun depan. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |