PETALING JAYA – Selangor FC sah tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) selepas mengalami kekalahan 2-3 kepada Persib Bandung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
The Red Giants yang memerlukan kemenangan bagi menghidupkan peluang untuk melepasi peringkat kumpulan berjaya memulakan perlawanan dengan agak positif apabila mendahului pasukan lawan dua gol dalam tempoh 17 minit.
Kehadiran pertahanan baharu, Mamadou Diarra juga menyerlahkan kualiti yang ada pada Selangor FC namun pengendali pelawat, Bojan Hodak sekali lagi menyerlahkan magis untuk melengkapkan kebangkitan hebat di babak kedua.
Terdahulu, Selangor FC memulakan perlawanan dengan cukup cemerlang, menyaksikan kelincahan Alvin Fortes pada minit ke-3 berjaya mencipta umpanan berkualiti yang disudahkan oleh Chrigor Moraes.
Selang 14 minit selepas itu, tuan rumah yang memerlukan tiga mata makin selesa, menyaksikan tekanan yang dilakukan Zach Clough memaksa pertahanan pelawat, Patricio Matricardi melakukan kesilapan, tertampan bola ke gawang sendiri.
Persib Bandung tidak pernah menunjukkan sikap putus asa untuk terus mencari gol pertama sebaliknya penjaga gol Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel dan Diarra bertindak cemerlang untuk melakukan tugasan bertahan.
Selepas aksi bersambung, Persib Bandung hanya memerlukan tiga minit untuk meledak gol pertama menerusi Andrew Jung sekali gus menjadikan perlawanan kali ini bertambah menarik.
Selepas cemerlang menafikan beberapa lagi percubaan berkualiti Persib Bandung, minit ke-81 Sikh Izhan tewas buat kali kedua, kali ini giliran pemain gantian, Adam Alis mencetak nama selaku penjaring gol buat pelawat.
Aksi di hujung permainan dihentikan seketika selepas berlaku kekecohan di tempat duduk penyokong pelawat namun situasi itu pantas dileraikan oleh pihak berkuasa bertugas.
Kecemerlangan Sikh Izhan sepanjang perlawanan seakan tertutup apabila melakukan kesilapan besar hingga membuka peluang buat Adam meledak gol kemenangan Persib Bandung pada masa kecederaan. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2

















![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)































