ACC: Laluan JDT ke final berliku, tewas 1-3

19 hours ago 11

ISKANDAR PUTERI – Hasrat Johor Darul Ta’zim FC (JDT) untuk melangkah ke pentas akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) semakin berliku selepas tewas 1-3 kepada Buriram United pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Kekalahan tersebut menyaksikan juara Liga Super itu berdepan tugas sukar menjelang aksi timbal balik di Thailand, sekali gus menjejaskan peluang mereka untuk memburu slot ke final.

Penyerang import kelahiran Brazil, Guilherme Bissoli muncul watak utama buat pelawat apabila meledak dua gol untuk memberikan kelebihan selesa kepada Buriram.
JDT yang kembali menyenaraikan Jairo da Silva dalam kesebelasan utama mempamerkan aksi agresif sejak awal permainan, namun ketiadaan Bergson da Silva jelas menjejaskan ketajaman jentera serangan tuan rumah.

Skuad Harimau Selatan hampir membuka jaringan seawal minit keempat menerusi percubaan Nacho Méndez, namun tindakan pantas benteng Buriram berjaya menggagalkan usaha tersebut.

Ketika JDT rancak menguasai permainan, Buriram terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-34 apabila Bissoli tenang menyudahkan umpanan Sasalak Haiprakhon untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah.

Situasi bertambah sukar buat JDT apabila Theerathon Bunmathan menambah jaringan kedua menerusi tandukan pada masa kecederaan separuh masa pertama, sekali gus memberikan kelebihan selesa buat pasukan pelawat menuju rehat.

Memasuki babak kedua, anak buah Xisco Munoz cuba bangkit dengan meningkatkan intensiti serangan, namun benteng pertahanan Buriram kekal ampuh mengekang setiap percubaan berbahaya.

JDT akhirnya berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan lewat Ager Aketxe pada masa kecederaan, namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Bissoli sekali lagi menghukum tuan rumah dengan gol ketiganya tidak lama kemudian.

Keputusan tersebut menyaksikan JDT perlu bangkit pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Arena Chang pada 13 Mei ini sekiranya mahu terus menghidupkan peluang ke pentas final ACC. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |