PETALING JAYA – Sebanyak 53 kontena mengandungi dagangan besi dan skrap aluminium bernilai RM9,028,888 disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam Ops Besiport di sekitar Lembah Klang, di sini.
Pengarah Kastam WPKL, Wan Norizan Wan Daud berkata, sitaan itu dijalankan secara bersepadu bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Sirim Berhad dari 28 Ogos hingga 5 September 2025 di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat, Klang.
“Hasil pemeriksaan rapi mendapati sebanyak 35 kontena mengandungi besi jenis ‘steel structure’ bagi kegunaan industri pembinaan, manakala 18 kontena lagi membawa skrap aluminium dan metal.
“Jumlah keseluruhan berat dagangan yang dirampas adalah 956,686 kilogram dengan nilai sitaan dianggarkan RM7.93 juta, manakala anggaran duti import dan cukai yang terlibat ialah RM1.09 juta,” katanya dalam pada sidang akhbar di Kompleks Kastam WPKL di Kelana Jaya, hari ini.
Menurutnya, pengimportan besi jenis steel structure bagi kegunaan industri pembinaan memerlukan Sijil Perakuan (COA) daripada CIDB, manakala skrap aluminium dan metal pula memerlukan kelulusan SIRIM Berhad.
Katanya, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan membuat ikrar tidak betul bagi mengelak keperluan lesen import yang sah.
“Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang tak berkastam atau larangan import,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Sektor Pendaftaran dan Akreditasi CIDB, Suhaimi Mansor berkata, kemasukan besi bagi tujuan industri yang tiada kelulusan CIDB memberi risiko dari segi kualiti dan keselamatan.
“Kualiti dibimbangi berada di bawah standard dibenarkan dan boleh membahayakan orang awam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

17 hours ago
7











![[VIDEO] Isteri Prince Syed masuk hospital tiada kaitan komplikasi bariatrik](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Dr.-Abdul-Gafoor-ketika-mengulas-mengenai-keadaan-Fatin-Syazwani-di-TikToknya-semalam..jpeg)






![[VIDEO] Pengawal sekolah dirai besar-besaran pada majlis persaraan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Tangkap-layar-memaparkan-hantaran-oleh-@Kak-Rock-Laa-di-laman-TikTok.jpeg)





























