KUALA LUMPUR – Separuh daripada keseluruhan jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu pada tahun ini menolak tawaran tersebut akibat mengalami masalah kewangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, rekod Tabung Haji (TH) juga mendapati 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit TH mempunyai simpanan kurang RM1,300.
“Pada masa ini juga, 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300 dan ini tidak mencukupi untuk menunaikan haji.
“Manakala, 50 peratus jemaah haji bagi tahun 2025 yang terpilih menolak tawaran tunai haji atas faktor masalah kewangan,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat di sini semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berhubung kos keseluruhan projek penjenamaan semula TH serta jumlah akhir peruntukan kewangan projek itu.
Terdahulu, Mohd. Na’im berkata, TH ditubuhkan dengan dua matlamat utama iaitu sebagai institusi penabungan haji dan organisasi memudah cara perjalanan haji umat Islam ke Tanah Suci.
Kata beliau, hasil komitmen dan usaha keras setiap tahun meletakkan TH sebagai penyedia perkhidmatan haji yang diiktiraf
terbaik di dunia melalui penganugerahan Diamond Award Labaytum oleh kerajaan Arab Saudi.
Bagaimanapun, katanya, peranan TH sebagai institusi penabungan mula terkesan kerana kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten apabila perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan lain yang lebih menarik.
Ujar beliau, TH antaranya perlu berasing dengan unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan skim persaraan swasta, maka inisiatif peremajaan jenama adalah langkah proaktif untuk memperkukuh kedudukan TH sebagai institusi tabungan pilihan umat Islam Malaysia.
“Matlamat inisiatif ini adalah untuk menyusun semula strategi bagi meningkatkan kembali paras simpanan individu pendeposit yang kini amat rendah.
“Bagi tiga tahun terkini, simpanan terkumpul hanya meningkat melalui pelaburan semula agihan keuntungan dan bukan secara organik,” katanya.
Justeru, katanya, TH mengambil langkah strategik peremajaan jenama bagi memastikan TH kekal relevan khususnya dalam usaha untuk menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji.
Jelas beliau, peruntukan bagi perkhidmatan syarikat konsortium perunding bagi inisiatif peremajaan jenama tersebut adalah RM5.9 juta atau kira-kira RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun.
Katanya, TH setakat ini telah membelanjakan RM1.9 juta berdasarkan kemajuan pencapaian semasa selari dengan tempoh masa yang dipersetujui.
“TH masih memperhalusi kerja-kerja lanjutan yang diperlukan bagi inisiatif peremajaan jenama dan ia masih belum dimuktamadkan.
“Hanya peruntukan kos perunding yang dimuktamadkan dan tiada sebarang kontrak lain dimeterai setakat ini. Peruntukan ini juga mengguna pakai peruntukan bajet tahunan sedia ada bagi
aktiviti pemasaran dan komunikasi TH,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 week ago
16














![[VIDEO] ‘Sedihnya…Tok Wan Jagung Gurun dah tinggalkan kita’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/tok-wan-jagung.jpeg)


































