40 sindiket penipuan dalam talian digempur, 426 individu ditahan

1 month ago 31

KUALA LUMPUR – Sebanyak 40 sindiket penipuan berjaya dilumpuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas menahan seramai 426 individu menerusi 63 serbuan di pusat-pusat panggilan di seluruh negara baru-baru ini.

Operasi Khas 83/2024 yang diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dijalankan selama 12 hari bermula 25 November hingga 6 Disember lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 426 individu yang ditahan terdiri daripada 331 lelaki dan 95 wanita berusia antara 16 hingga 55 tahun.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 146 individu merupakan warga tempatan, manakala selebihnya adalah warga asing.

“Warga asing yang ditahan terdiri daripada 21 warga Thailand, China (224 orang), Indonesia (18) Nigeria (5), Pakistan (3) Zimbabwe dan Ukraine masing-masing dua orang manakala Kenya, Tajikistan, Taiwan, Guinea dan Syria membabitkan seorang,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek dikesan terlibat dalam 40 kumpulan sindiket yang menjalankan pelbagai kegiatan penipuan antaranya 12 sindiket judi dalam talian.

“Selain sindiket judi dalam talian, turut ditumpaskan sindiket sembilan sindiket pelaburan tidak wujud dan tipu pelaburan kerja, sindiket e-dagang (5), sindiket berkaitan Love Scam (3) manakala penipuan derma dan promosi video lucah masing-masing satu,” katanya.

Ramli berkata, hasil siasatan mendapati sindiket-sindiket ini bukan sahaja menyasarkan mangsa di Malaysia malah ke seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, India, Hong Kong, Taiwan, Trinidad dan Tobago, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Ujarnya, individu yang ditahan memainkan peranan berbeza dalam sindiket tersebut seperti pengurus, penyelia, pegawai khidmat pelanggan, pegawai kewangan, pegawai pengiklanan dan pengaturcara komputer.

“Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas sebanyak 1,240 telefon bimbit, 187 set komputer, 302 komputer riba, 44 modem, 41 router, 52 monitor, 41 kad ATM, 21 kad akses, dan 185 keping simkad.

“Selain itu, turut dirampas dua utas gelang tangan, enam kenderaan dan wang tunai berjumlah RM79,451. Selain itu, sembilan cop rasmi, dua sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan beberapa barangan lain turut disita.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.48 juta,” katanya.

Ramli turut mendedahkan bahawa sebanyak 35 premis kediaman seperti rumah teres, kondominium dan apartmen digunakan sebagai markas operasi pusat panggilan sindiket tersebut.

Justeru itu, beliau memberi amaran keras kepada pemilik premis agar menyemak latar belakang penyewa dan mengetahui aktiviti yang dijalankan di kediaman mereka.

Tegas beliau, tindakan membiarkan aktiviti jenayah beroperasi di premis milik sendiri boleh dianggap sebagai bersekongkol dan pihak polis tidak menolak kemungkinan membawa pemilik ke muka pengadilan.

“Setakat ini seramai 261 individu yang ditahan sudah dituduh di mahkamah manakala selebihnya sedang disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan, Seksyen 4(1)(C) dan 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Kata Ramli, operasi ini adalah amaran tegas kepada sindiket penipuan yang cuba menjadikan Malaysia sebagai pusat panggilan jenayah.-KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |