KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dengan menyiapkan seramai 4,428 anggota serta lebih 7,800 aset darat, perairan dan udara bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 melalui pelaksanaan Operasi Murni (Op Murni).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketumbukan anggota yang bersedia digerakkan merangkumi 266 pegawai dan 4,162 anggota lain-lain pangkat melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di seluruh negara.
Katanya, kesiapsiagaan aset juga ditingkatkan secara besar-besaran melibatkan 506 mobiliti darat, 7,355 mobiliti perairan termasuk bot penyelamat dan peralatan keselamatan serta 19 aset mobiliti udara bagi tujuan pengangkutan, peninjauan dan bantuan kecemasan.
“ATM adalah sebahagian daripada agensi yang terlibat dan bergerak di bawah Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan ia complementary (melengkapi) usaha dan juga peranan yang dimainkan oleh Nadma dan (lain-lain agensi),” katanya pada sidang akhbar selepas taklimat berkaitan Op Murni di sini, hari ini.
Beliau menambah, beberapa aset tambahan seperti trak telah diperoleh melalui Nadma dan diserahkan kepada ATM untuk digerakkan mengikut keperluan operasi.
“Begitu juga dengan jambatan Bailey dan peralatan lain yang dibeli oleh Nadma, diserahkan untuk dikendalikan oleh pihak tentera.
“Kita akan tengok pengalaman-pengalaman kita, tahap-tahap banjir yang kita lalui, buat ketika ini pihak kerajaan sentiasa beri kerjasama dan kita percaya, berasaskan kepada tahap banjir yang akan kita lalui mahupun yang akan datang, tentunya jika ada keperluan yang lain-lain, saya percaya kita (ATM) akan kemukakan,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, ATM sentiasa memastikan kesiapsiagaan anggota, aset, dan ketiga-tiga perkhidmatan ATM berada pada tahap optimum serta mampu memberikan tindak balas pantas.
“Operasi ini selaras dengan pendekatan Whole of Government, Whole of Society (Wogos) yang menekankan peranan ATM sebagai sokongan utama kerajaan dalam menghadapi kecemasan dan bencana alam, serta mendukung aspirasi Kertas Putih Pertahanan (KPP) melalui konsep Pertahanan Menyeluruh (Hanruh) dalam melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

1 week ago
15














![[VIDEO] ‘Sedihnya…Tok Wan Jagung Gurun dah tinggalkan kita’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/tok-wan-jagung.jpeg)


































