300 keluarga nikmati air bersih bertapis

1 month ago 32

BALING – Selepas lebih 40 tahun menggunakan bekalan air paip masyarakat, hari ini lebih 300 keluarga telah mendapat bekalan air bersih bertapis dengan usahasama Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Muslim Care Malaysia (MCM).

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan, berkata dengan usahasama ini mereka dapat menyediakan satu tadahan kolam air yang ditapis yang membekalkan air bersih yang berkapasiti 100,000 ribu galen airnya dengan keluasan 15×30 kaki persegi dan kedalamannya 2.43 meter.

“Dengan bekalan air bersih ini, ia dapat meningkatkan kualiti kehidupan penduduk kampung apabila dapat melakukan aktiviti harian seperti membersihkan baju, memasak, air minuman dan sebagainya dengan lebih sempurna.

“Ini adalah satu inisiatif yang baik dan terpuji atas kemampuan dan kesedian BPMB untuk menaja program ini bekerjasama dengan MCM bagi membantu penduduk kampung agar kualiti hidup mereka lebih baik daripada sebelum ini,” kata Zulkifli ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kolam Tadahan Air Muslim Care di Kampung Luar, Mukim Siong, hari ini.

Menurutnya, sebelum melaksanakan program ini, mereka terlebih dahulu mengenal pasti masalah penduduk kampung kemudian membuat kertas kerja kepada BPMB untuk penajaan dan seterusnya MCM menyelia dan melaksanakan projek ini sehinggalah siap sepenuhnya.

Ketua Kumpulan, Pengurusan Shariah Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Noor Ain Mohd Amin pula berkata, BPMB telah menyalurkan 89 peratus (RM238,534) melalui dana zakat untuk manfaat asnaf (fakir dan miskin) manakala MCMS menyumbang baki 11 peratus (RM29,485) untuk membantu golongan bukan asnaf.

“Projek ini melibatkan pembinaan kolam tadahan air lengkap dengan sistem penapisan dan peningkatan rangkaian paip untuk menangani isu bekalan air bersih, terutamanya semasa musim perayaan dan majlis,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |