LONDON – Sebanyak 25 negara membekalkan petroleum kepada Israel sepanjang dua tahun perang genosid di Gaza, demikian menurut sebuah laporan dipetik laman berita Middle East Eye.
Laporan terkini oleh Oil Change International (OCI) mengesan 323 penghantaran dari 25 negara membawa hampir 21.2 juta tan minyak mentah dan produk petroleum ditapis ke Israel antara 1 November 2023 hingga 1 Oktober 2025.
Daripada kesemua penghantaran tersebut, 171 membawa 17.9 juta tan minyak mentah, dengan 70 peratus daripadanya berasal dari Azerbaijan dan Kazakhstan.
Minyak mentah Azerbaijan itu disalurkan ke Turkiye melalui saluran paip Baku-Tbilisi-Ceyhan (BTC).
Pada masa sama, minyak mentah Kazakhstan dieksport melalui Konsortium Saluran Paip Caspian (CPC) ke pantai Laut Hitam Russia dekat Novorossiysk dan disenaraikan sebagai berasal dari Russia.
Penghantaran juga direkodkan dari Benua Afrika, serta empat yang dikesan dari Brazil.
Walaupun data menunjukkan penghantaran minyak mentah Brazil ke Israel terhenti tahun ini, Persekutuan Pekerja Minyak Kebangsaan Brazil mengatakan, ia mungkin dihantar ke kilang-kilang penapisan asing, kebanyakannya di Itali.
Penurunan mendadak eksport minyak Brazil ke Israel diganti dengan lonjakan penghantaran ke kilang penapisan Sarroch di Sardinia, Itali, diikuti peningkatan eksport produk petroleum ditapis dari kilang penapisan tersebut ke Israel.
Laporan sama mendapati 17 negara melakukan 152 penghantaran hampir 3.3 juta tan produk petroleum ditapis ke Israel dalam tempoh sama, dengan 45 peratus berasal dari Russia.
Menurutnya, Amerika Syarikat turut membuat sembilan penghantaran membawa 360,000 tan JP-8 iaitu bahan api jet yang digunakan untuk pesawat tentera, serta dua penghantaran diesel dari Kilang Penapisan Bill Greehey Valero di Corpus Christi, Texas.
Terdapat persoalan sama ada eksport bahan api berterusan ke Israel melanggar kewajipan antarabangsa untuk mematuhi perintah sementara Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) yang mengarahkan negara-negara ‘mencegah dan menghukum genosid’. – AGENSI.

1 week ago
17














![[VIDEO] ‘Sedihnya…Tok Wan Jagung Gurun dah tinggalkan kita’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/tok-wan-jagung.jpeg)


































