KUALA SELANGOR – Sebanyak 22 penghidap kanser paru-paru dikesan hasil saringan dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh dua bulan sejak Julai lalu, melibatkan kumpulan berisiko tinggi seperti perokok dan pekerja industri.
Saringan tersebut dilaksanakan di tujuh buah klinik kesihatan (KK) di seluruh negara yang mempunyai X-ray teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk saringan dan diagnostik kesihatan paru-paru.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, program saringan kesihatan paru-paru itu melibatkan 3,482 pemeriksaan X-ray terhadap responden berisiko tinggi berusia 18 tahun ke atas.
Menurutnya, hasil menunjukkan 3,778 penemuan berisiko termasuk 229 ketumbuhan di bahagian paru-paru.
“Daripada jumlah itu, 22 kes yang kita kesani sebagai penghidap kanser paru-paru.
“Penyakit ini seperti kanser payu dara dan sebagainya datang pada kita pada tahap yang lambat iaitu tahap ketiga,” katanya selepas merasmikan Program Ramah Mesra Santuni MADANI di Pantai Jeram di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan tujuh KK akan memulakan saringan berkenan iaitu KK Seberang Perai (Hospital Seberang Perai sebagai hospital rujukan); KK Kok Lanas (Hospital Tanah Merah); KK Beserah (Hospital Tuanku Ampuan Afzan) dan KK Luyang (Hospital Queen Elizabeth).
Selain itu, ialah KK Kajang (Hospital Kajang); KK Batu 9 (Hospital Kajang) dan KK Pendang (Hospital Pendang dan Hospital Sultanah Bahiyah).
Dr. Dzulkefly berkata, asap rokok khususnya mengandungi lebih 7,000 bahan kimia berbahaya yang bukan sahaja meningkatkan risiko kanser paru-paru malah boleh menyebabkan penyakit paru-paru kronik (COPD).
“Kita memang mahu saring semua orang tetapi mempunyai kekangan dengan pendekatan kini lebih bersasar kepada kumpulan rentan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, KKM juga mempunyai teknologi ujian molekul pantas (rapid molecular testing) yang mampu memberikan keputusan dalam tempoh kurang dua jam, berbanding 48 jam sebelum ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan komited memperkukuh penguatkuasaan Akta 852 iaitu Akta Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam 2024 bagi mengekang penjualan dan penggunaan produk merokok termasuk rokok elektronik.
“Kita mahu penguatkuasaan menyeluruh dari hujung ke hujung (end-to-end) — bermula daripada proses pendaftaran, penjualan hingga ke tindakan penguatkuasaan. Kedua-dua aspek ini akan diperketatkan,” ujarnya.
Tambahnya, isu kesihatan paru-paru turut diangkat ke peringkat antarabangsa selepas beliau membentangkan agenda Paru-Paru Sedunia (World Lung Initiative) dalam Perhimpunan Kesihatan Sedunia (World Health Assembly) di Geneva, tiga bulan lalu.
“Inisiatif ini turut mendapat sokongan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memperkukuh kesedaran global terhadap penjagaan paru-paru,” katanya. – KOSMO! ONLINE

15 hours ago
4

















![[VIDEO] ‘Masalahnya koko hari Rabu bukan hari Jumaat bang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-02-at-2.32.34-PM.jpeg)































