2 pemuda disyaki tikam 10 penumpang dalam tren

19 hours ago 7

LONDON – Beberapa orang telah ditikam di dalam gerabak tren London North Eastern Railway (LNER) dalam apa yang digambarkan sebagai satu serangan besar-besaran yang kejam di Britain, lapor portal berita Metro.co.uk semalam.

Polis dihubungi pada pukul 7.39 malam (waktu tempatan) semalam hanya beberapa minit selepas tren memulakan perjalanan.

Pihak berkuasa dihubungi selepas laporan diterima mengenai beberapa kecederaan akibat tikaman dan penumpang yang terperangkap di dalam gerabak.

Tren tersebut dihentikan di bandar Huntingdon, di mana Polis Cambridgeshire bergegas ke tempat kejadian dan menahan dua lelaki.

Beberapa individu telah dibawa ke hospital dengan pelbagai luka tikaman, namun keadaan mereka masih belum dapat dipastikan. 

Sementara itu, sebahagian penumpang masih berada di stesen dan sedang diperiksa oleh anggota-anggota paramedik.

Laporan awal menyatakan bahawa sehingga 10 orang mungkin cedera, tetapi angka itu belum disahkan pihak berkuasa.

Seorang saksi bernama Gavin yang berada di dalam tren memberitahu portal berita Sky News bahawa dia menyaksikan seorang penumpang berlumuran darah melalui gerabak sambil berkata: “Mereka ada pisau, saya telah ditikam.”

Menurutnya, apabila tren berhenti, mangsa terbaring di lantai sebelum anggota paramedik membawanya ke ambulans.

Gavin juga memberi amaran bahawa beberapa penumpang lain turut ditikam. 

Ketika keluar dari stesen, dia menyaksikan polis menjerit kepada seorang suspek yang memegang sebilah pisau besar supaya berbaring di tanah, sebelum menembaknya dengan pistol renjat.

Rakaman video yang tular di Facebook menunjukkan puluhan kereta polis bergegas ke stesen Huntingdon, manakala orang ramai berkumpul di luar.

Pemandu yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas berkata mereka tidak pernah melihat tindak balas bersenjata polis sebesar itu di bandar tersebut. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |