2 cedera parah diserang kumpulan lelaki di Sri Petaling

3 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Dua lelaki cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan objek tajam dan batang besi dalam pergaduhan di hadapan sebuah kelab di Jalan Radin Tengah, Sri Petaling, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 3.40 pagi.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan tercetus akibat rasa cemburu dan tidak puas hati suspek terhadap teman wanitanya yang kini bersama lelaki lain.

“Kedua-dua mangsa, mengalami kecederaan parah termasuk luka pada tangan kanan, belakang dan kaki manakala seorang lagi cedera di kepala akibat hentakan objek tajam,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Zon Kuning Hospital Ampang.

Tambahnya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia 17 hingga 20 tahun, termasuk suspek utama.

“Pihak polis turut merampas senjata batang besi yang digunakan semasa kejadian. Semakan mendapati seorang daripada suspek memiliki dua rekod jenayah kekerasan melibatkan Seksyen 323 dan 324 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Menurutnya, usaha mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326/148 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah dengan senjata berbahaya serta memiliki senjata maut dalam rusuhan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan.

Chang Hook menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam jenayah kekerasan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline IPD Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Kontinjen Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |