1MDB: Najib dijel 15 tahun, denda RM11.38 bilion

2 hours ago 1

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dihukum 15 tahun dan denda RM11.38 bilion atas 25 pertuduhan RM2.3 billion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bertindak selaku Mahkamah Tinggi memutuskan demikian selepas mendengar mitegasi hukuman daripada pihak pembelaan dan hujahan pemberatan pendakwaan selain mengambil kira kepentingan awam.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara serentak itu bermula selepas Najib menjalani hukuman pemenjaraan dana SRC International Sdn. Bhd.

Sekiranya Najib gagal membayar jumlah denda itu tertuduh boleh dipenjara 40 tahun.

Terdahulu, pihak pembelaan Najib berhujah tiada bukti bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu mengalihkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk kemewahan peribadi atau mengaut kekayaan secara rahsia.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, sebahagian besar dana yang berkaitan telah digunakan untuk aktiviti politik, sosial dan kebajikan di bawah rangka kerja Barisan Nasional.

“Perbelanjaan peribadi secara terhad adalah berkaitan tugas rasmi dan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri ketika itu,” hujah beliau.

Selain itu Muhammad Shafee menyatakan anak guamnya juga tidak mendapat keuntungan peribadi hasil keputusan yang dicapai berkaitan tadbir urus dana1MDB ketika berjawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Malah, Najib secara sukarela telah memulangkan AS$620 juta iaitu hampir keseluruhan daripada jumlah dana AS$681 juta yang diterimanya.

“Ini menunjukkan beliau tiada motif untuk mengaut keuntungan dan menyokong niat baik (bona fide) beliau dalam kesahihan transaksi yang dilakukan.

“Kes ini tidak mempunyai ciri rasuah teras yang biasanya mewajarkan hukuman berat diberikan kepada anak guam,” kata peguam ketika menyampaikan hujah meringankan hukuman.

Seterusnya peguam itu memohon mempertimbang keadaan kesihatan Najib yang mana prosiding terpaksa ditangguhkan kerana keadaan akut termasuk episod hipertensi teruk yang memerlukan kemasukan ke hospital.

“Tertuduh juga telah dirawat kerana keradangan akut pada lutut dan memerlukan cuti perubatan selepas pembedahan mata,” hujahnya.

Sementara Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara maksimum ke atas bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu berikutan sabitan terhadap kesemua 25 tuduhan berkenaan.

“Dalam kes ini, jawatan yang disandang oleh tertuduh ialah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang mana ia memberi graviti, kesan buruk terhadap kepentingan negara dan kepentingan awam,” kata Ahmad Akram.

Ahmad Akram memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimun 20 tahun bagi setiap pertuduhan, dengan hukuman dijalankan berturutan selepas tertuduh menamatkan tempoh penjara sedia ada di Penjara Kajang berhubung kesalahan penyelewengan dana RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Pendakwaan juga memohon Najib didenda RM11.4 bilion, dikira sebagai lima kali ganda nilai suapan dalam pertuduhan salah guna kuasa, selain hukuman tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Mengikut empat pertuduhan Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB didakwa menggunakan kedudukannya ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB.

Kesalahan itu dilakukan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Justeru beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |