16,951 remaja berusia bawah 19 tahun hamil tidak berkahwin

1 week ago 15

KUALA LUMPUR – Seramai 16,951 remaja hamil berusia 19 tahun ke bawah yang tidak berkahwin direkodkan di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tempoh 2020 hingga 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha membendung isu itu telah dilaksanakan oleh KPWKM menerusi pelbagai inisiatif.

Menurut beliau, ia melibatkan pelbagai aspek termasuk pemerkasaan pendidikan kesihatan reproduktif, inisiatif kaunseling serta sokongan komuniti.

“Antara inisiatif tersebut termasuk membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Pekerti)

“Di samping itu, KPWKM akan melancarkan Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara yang baharu sebagai usaha memperkasakan keluarga untuk kestabilan sosial.

“Usaha membendung isu kehamilan remaja luar nikah ini wajar digembleng bersama oleh semua pihak demi masa depan generasi muda yang lebih sejahtera,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd. Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berhubung jumlah remaja hamil tanpa nikah mengikut kaum dari tahun 2020 hingga terkini.

Menjawab soalan tambahan Mohd. Misbahul, Nancy berkata, sebanyak 41,842 remaja hamil yang berusia 19 tahun ke bawah direkodkan mendapatkan perkhidmatan di klinik kerajaan.

Menurut beliau, jumlah itu meliputi kedua-dua status remaja yang telah berkahwin dan yang belum berkahwin.

“Lebih kurang 50 peratus adalah Melayu, 11 peratus Iban, sembilan peratus Orang Asli, lima peratus Cina, tiga peratus India dan selebihnya pelbagai etnik lain,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GSS-Sri Aman), beliau berkata, lelaki tanpa mengira umur yang bersetubuh dengan perempuan di bawah umur dianggap rogol walaupun hubungan itu dibuat secara rela.

Katanya, beliau secara peribadi namun berpendirian kanak-kanak yang terlibat dalam hubungan seksual secara suka sama suka perlu dilindungi, dibimbing serta dipulihkan dan bukannya dihukum semata-mata.

“Sama ada dia seorang kanak-kanak lelaki atau kanak-kanak perempuan, mereka tidak seperti tahap pemikiran orang dewasa.

“Tahap kematangan mereka perlu diambil kira di mana seorang kanak-kanak tidak dapat menilai kesan daripada kelakuan atau tindakan mereka terutamanya implikasi jangka panjang.

“Jadi kanak-kanak harus diberi ruang memulihkan diri dan membina semula kehidupan tanpa dibebani stigma atau trauma jangka panjang,” katanya.

Ujar beliau, setiap individu dewasa perlu memikul tanggungjawab utama membimbing dan melindungi kanak-kanak dalam menangani isu tersebut.

“Yang penting ibu bapa perlu memainkan peranan ini. Jaga anak kita dan mesti pastikan mereka sentiasa dalam perlindungan kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |