KUALA LUMPUR – Negara dikejutkan dengan pendedahan bahawa purata 14,000 kes buli berlaku setiap tahun di sekolah, menjadikan institusi pendidikan sebagai lokasi paling banyak insiden ganas itu dilaporkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, data itu sekali gus menunjukkan kanak-kanak adalah kumpulan paling terdedah dengan budaya buli yang semakin membimbangkan.
“Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh hanya dua bulan, dari Ogos hingga Oktober, merekodkan 160 kes, dengan 78 peratus mangsa berusia antara enam hingga 17 tahun. Lebih menyedihkan apabila sekolah yang sepatutnya menjadi zon selamat bertukar menjadi lokasi utama kejadian, menyebabkan ramai kanak-kanak menderita dalam diam tanpa laporan, suara dan perlindungan,” katanya.
Azalina berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, kerajaan terpaksa mengambil tindakan segera dan menyeluruh apabila buli bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal, malah boleh menghancurkan emosi dan masa depan kanak-kanak.
Melalui fasa pertama, akta itu akan terpakai kepada kanak-kanak bawah 18 tahun sebelum diperluaskan kepada mereka berusia 18 tahun ke atas.
RUU itu turut mencadangkan penubuhan Tribunal Antibuli dengan kuasa membuat perintah pampasan sehingga RM250,000 terhadap pembuli.
“Tribunal berkenaan akan berperanan seperti badan kehakiman tetapi lebih ringkas, cepat dan mesra pengguna, sekali gus membolehkan mangsa mendapatkan keadilan tanpa perlu melalui proses mahkamah yang rumit,” katanya.
Beliau berkata, keperluan akta itu semakin mendesak berikutan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022 yang menunjukkan 18.6 peratus remaja berusia 13 hingga 17 tahun pernah menjadi mangsa buli, dengan risiko tiga kali ganda mengalami kemurungan atau kecenderungan mencederakan diri.
Melalui undang-undang baharu ini, setiap institusi pendidikan juga diwajibkan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mencegah dan mengurus kes buli bagi memastikan tindakan lebih seragam dan tegas.
Azalina berkata, tribunal akan mendengar dan memutuskan aduan berkaitan kes buli sama ada insiden berlaku dalam sekolah, di luar kawasan sekolah tetapi melibatkan pelajar, atau membabitkan kanak-kanak yang tidak bersekolah.
Katanya, pembentukan tribunal ini dijangka menjadi pelindung baharu kepada kanak-kanak yang selama ini menjadi mangsa dalam diam. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
1

















































