SABAK BERNAM – Hasrat 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk pulang ke kampung halaman tidak kesampaian apabila ditangkap dalam bilik sebuah hotel di Sungai Besar, semalam.
Kesemua mereka termasuk lima wanita berusia 21 hingga 45 tahun diberkas kira-kira pukul 6 pagi.
Turut ditahan seorang tekong darat lelaki berusia 38 tahun yang juga warga Indonesia di sekitar lokasi kejadian.
Pegawai Pemerintah Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jafri Muhamad berkata, kejayaan itu hasil maklumat awam berkaitan pemerdagangan dan penyeludupan migran dengan kesemua PATI berada dalam sebuah bilik di hotel itu.
Katanya, siasatan mendapati kesemua PATI ingin pulang dan masuk ke negara ini tanpa melalui laluan yang diwartakan dengan menggunakan jalan laut.
“Hasil siasatan turut mendapati mereka membayar RM1,500 seorang kepada sindiket penyeludupan migran.
“Pemeriksaan mendapati kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihaknya turut merampas dua buah kenderaan serta beberapa buah telefon bimbit dianggarkan RM83,500 sepanjang operasi itu
Jelas Jafri, kesemua 11 tangkapan termasuk tekong serta rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963,” katanya. – KOSMO! ONLINE