JOHOR BAHRU – Kira-kira 108 nelayan serta penternak kupang di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang terjejas susulan insiden tumpahan minyak disyaki minyak kelapa sawit berlaku di Sungai Cupak, Khamis lalu.
Seorang nelayan, Mansor Muda, 75, berkata, susulan kejadian itu, komuniti nelayan dan penternak kupang terpaksa menghentikan operasi harian mereka berikutan bimbang dengan kesan pencemaran terhadap hasil laut.
“Nelayan dan penternak kupang di sini sudah lima hari tak turun ke laut, ini menyebabkan punca pendapatan harian mereka turut terjejas sebab takut hasil laut tercemar.
“Kalau diikutkan, sehari penternak kupang kalau tuai hasil dalam RM2,000, nelayan pula dalam RM200 hingga RM500.
“Hari ini dah masuk lima hari, kira-kira anggaran lebih RM10,000 kami hilang,”katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Nelayan Kampung Pasir Putih, Hamzah Allahditta, 64, berkata, kejadian tumpahan minyak di perairan Sungai Cupak bukan pertama kali berlaku malah mendakwa lebih 10 kali indisen seumpanya berlaku.
“Saya tinggal dan jadi nelayan di sini lebih 45 tahun, saya ingat lebih 10 kali kejadian tumpahan minyak berlaku di kawasan ini.
“Dah banyak kali kita mengadu kepada pihak berkenaan, kejadian sama tetap berlaku dan kesannya komuniti laut di sini yang menanggung, untuk kejadian ini, lebih kurang dua minggu ambil masa untuk kembali pulih,”katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Pasir Gudang, Jaslan Md Subari menggesa kerajaan negeri dan pihak bertanggungjawa segera tampil melakukan siasatan serta membantu komuniti laut yang terjejas.
“Kami sangat berharap agensi berkaitan tampil membantu segera. Mereka yang terjejas ini sudah lama tidak berpendapatan.
“Kami harap pampasan dapat disegerakan. Jangan biarkan mereka terus terhimpit, makan hati tengok laut tapi tak boleh mencari rezeki,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

13 hours ago
6











![[VIDEO] Isteri Prince Syed masuk hospital tiada kaitan komplikasi bariatrik](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Dr.-Abdul-Gafoor-ketika-mengulas-mengenai-keadaan-Fatin-Syazwani-di-TikToknya-semalam..jpeg)






![[VIDEO] Pengawal sekolah dirai besar-besaran pada majlis persaraan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Tangkap-layar-memaparkan-hantaran-oleh-@Kak-Rock-Laa-di-laman-TikTok.jpeg)





























