Zahnita Wilson tolak ‘job’ modeling bernilai RM150,000

2 months ago 25

PETALING JAYA – Bekas model dan pelakon, Zahnita Wilson menolak tawaran lumayan menjadi duta jenama pakaian terkenal tanah air berjumlah RM150,000.

Meskipun ditawarkan bayaran mencecah enam angka, pemilik nama lengkap Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, itu mengakui sudah tiada hati untuk terbabit dalam bidang peragaan.

“Saya minta maaf dengan rendah diri saya terpaksa menolak. RM150,000 memang banyak tetapi dunia peragaan bukan lagi dunia saya.

“Jakel menawarkan saya menjadi wajah kempen raya untuk tiga bulan tetapi saya minta maaf terpaksa menolak,” katanya.

Dalam masa sama, pelakon filem Gila-Gila Pengantin Remaja itu hanya mahu memberikan fokus penuh terhadap perniagaan serta empat anaknya.

“Saya mahu beri tumpuan kepada bisnes pai dan anak-anak tetapi kalau ada tawaran kecilan daripada kawan-kawan, insya-Allah saya akan bantu peragakan.

“Jika tawaran tersebut membantu masyarakat dan golongan wanita, saya akan datang,” jelasnya.

Berkongsi mengenai kehidupan sendiri, Zahnita akan tetap menguruskan perniagaannya dan berharap dapat menjual 100,000 biji pai pada tahun hadapan.

“Saya akan terus menjadi diri sendiri seperti biasa dan menggunakan media sosial sebagai platform mempromosikan perniagaan sendiri.

“Target saya bulan ini nak buat 3,000 pai dan harap dapat capai penjualan 100,000 pai pada tahun hadapan. Masa baru mulakan bisnes, saya minta Allah tunjukkan jalan.

“Saya juga pernah berniat nak hantar 1 juta pai kepada Palestin. Mungkin sebab itu Allah beri rezeki ini,” kongsinya.

Awal minggu ini, Zahnita mengejutkan ramai apabila memuat naik foto bahagian matanya lebam dan mendakwa dipukul suaminya selepas bertanya tentang kehadiran orang ketiga.

Menurut Zahnita, dia mendedahkan kesengsaraan itu selepas tidak lagi mampu bertahan dalam tempoh 20 tahun hidup bersama.

Kosmo! Online juga sebelum ini melaporkan polis menahan reman suaminya selama tiga hari di Kuantan bagi membantu siasatan.

Suami Zahnita, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 46, didakwa atas dua pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |