TAIPING – Seorang wanita berusia 25 tahun di sini kerugian RM115,786 setelah terperdaya dengan sindiket phone scam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pada Rabu lalu lebih kurang pukul 6.07 petang, pihak polis telah menerima laporan daripada seorang perempuan yang merupakan seorang pelajar universiti luar negara.
Katanya, pengadu menyatakan bahawa dia telah diperdaya dan ditipu oleh sindiket penipuan penyamaran pihak berkuasa (phone scam).
“Siasatan awal pihak polis mendapati pada 13 Januari 2025 lebih kurang pukul 1.04 petang, semasa berada di rumah alamat milik pengadu, dia menerima panggilan daripada seorang lelaki Cina yang mengakui dirinya wakil kedutaan China.
“Suspek beritahu nombor telefon yang didaftarkan atas nama pengadu digunakan untuk buka akaun yang terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram dan panggilan disambung ke balai polis di China,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mohamad Nasir berkata, pengadu bercakap dengan seorang yang mengaku sebagai polis dan pendakwa raya meminta pengadu memberikan maklumat akaun, nombor kad pengenalan dan alamat serta meminta pengadu mengikuti segala arahan mereka.
“Oleh kerana pengadu dalam ketakutan, dia telah memberikan maklumat seperti yang diminta oleh suspek. Kemudian pengadu diberitahu akaun pengadu akan disiasat dan diminta masukkan wang ke dalam lima akaun diberikan.
“Pada 15 Januari sehingga 4 Februari 2025, pengadu telah memindahkan wang berjumlah rm115,786 ke dalam lima akaun yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata, pada 4 Februari 2025, pengadu dimaklumkan bahawa siasatan telah selesai dan pengadu diarahkan pergi ke balai terdekat untuk dapatkan surat (proof of innocence).
“Apabila pengadu datang ke balai polis dan bertanya tentang perkara tersebut, barulah pengadu sedar bahawa ini adalah penipuan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu) dan siasatan masih dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE