GEORGE TOWN – Seorang jemaah warga emas tular apabila dia bertindak melempang seorang budak lelaki yang dipercayai bermain belon di ruang solat sebuah masjid di Sungai Ara di sini, hari ini.
Menurut seorang jemaah masjid tersebut, kejadian itu sebenarnya berlaku selepas selesai berbuka puasa, kira-kira pukul 8 malam semalam.
Dakwanya, kanak-kanak lelaki itu datang bersama ibu bapanya dari Bertam, Seberang Perai Utara untuk singgah menunaikan solat maghrib di masjid berkenaan.
“Kejadian dikatakan berlaku ketika kanak-kanak itu dikatakan sedang bermain di ruang solat dan datang seorang pak cik yang juga jemaah masjid lalu melempangnya.
“Insiden itu berlaku di depan bapa budak tersebut yang ketika itu turut berada di situ. Berlaku sedikit kekecohan antara pak cik dan bapa budak tersebut, namun berjaya ditenangkan beberapa jemaah.
“Saya difahamkan, pak cik tersebut telahpun meminta maaf kepada bapa budak lelaki itu dan kejadian tersebut akhirnya selesai secara baik,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Kosmo! difahamkan, satu laporan polis telah dibuat waris kanak-kanak tersebut berhubung kejadian berlaku, hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang pak cik berbaju melayu merah jambu dan berkain pelikat melempang seorang budak lelaki berbaju kemeja-T biru.
Keadaan menjadi sedikit tegang apabila bapa budak tersebut bangkit dari saf dan meluru ke arah pakcik tersebut, ketika jemaah lain datang meleraikan kejadian berlaku.
Video yang dikongsi di Instagram Kosmo! turut mendapat pelbagai komen daripada pengguna media sosial termasuk daripada anggota UNIC, Fakhrul Radhi (UNIC).
“Pak cik terpaling AJK masjid, tampaq cucu hang baru tau, tak boleh gitu, budak-budak memang la dia main. Nasihat elok-elok,” komen Fakhrul. – KOSMO! ONLINE