PETALING JAYA – Beberapa peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 dan Freedom Flotilla Coalition (FFC) mendakwa mereka menjadi mangsa penderaan fizikal, serangan seksual dan penyeksaan melampau ketika berada dalam tahanan pihak berkuasa Israel baru-baru ini.
Seorang peserta dari Malaysia, Al-Ahmad Shah Abdul Kadir (CEO Kapal) mendakwa sekurang-kurangnya 35 tahanan mengalami kecederaan pada tulang rusuk, manakala lima lagi cedera di kepala.
Katanya, terdapat juga dakwaan 12 kes serangan seksual selain dua tahanan mengalami pendarahan pada mata serta kerosakan serius pada penglihatan.
“Ini (kecederaan) semua berlaku ketika kami membawa misi kemanusiaan,” katanya dalam sesi temu bual selepas tiba di Turkiye malam tadi (waktu Malaysia).
Sementara itu, peserta dari Australia, Juliet Lamont turut berkongsi pengalaman peribadi apabila mendakwa keganasan yang dilakukan rejim kali ini jauh lebih teruk berbanding misi yang pernah disertainya sebelum ini.
Dia yang berada dalam kapal Israel yang membawa kira-kira 180 peserta misi mendakwa mereka dipukul dan dibelasah secara bergilir-gilir.
“Seramai 40 orang (mengalami kecederaan) patah tulang rusuk, 12 kes serangan seksual, ada peserta yang terkena renjatan taser (senjata renjatan) pada muka.
“Ada juga disuntik dengan bahan pelali yang tidak diketahui (kandungannya). Saya diikat menggunakan tali kabel. Mereka menjirus banyak air ke atas saya selama hampir sejam sehingga saya fikir saya akan lemas.
“Kemudian saya dicabul secara seksual di ruang seperti bilik seksaan. Lima lelaki memukul dan menghentak muka saya,” dakwanya.
Ibu dua anak itu memberitahu, keganasan ke atas para peserta dilakukan secara berterusan sepanjang mereka berada di atas kapal milik tentera Israel ketika dalam perjalanan ke Ashdod, Israel.
Dalam pada itu, aktivis dari Brazil, Thiago Avila mendakwa, banyak kes keganasan seksual berlaku terhadap peserta misi sepanjang mereka ditahan pihak zionis.
“Orang ramai dirogol dalam penjara Globosim. Tentera (Israel) itu mencabuli peserta kami. Ia bukan satu, dua atau tiga kes, tetapi banyak kes keganasan seksual terhadap peserta kami,” dakwanya.
Thiago berkata, kesemua peserta yang tiba di Istanbul tengah malam tadi sedang menjalani pemeriksaan kesihatan.
Laporan perubatan sedang disediakan untuk tindakan lanjut termasuk proses undang-undang di peringkat antarabangsa.
“Kami akan membawa perkara ini ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Mereka (Israel) perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.
Beberapa peserta lain dalam sesi temu bual sama turut berkongsi pengalaman masing-masing yang digambarkan sebagai distopia (mencemaskan) selain mendakwa dipukul, diseksa dan dihina sepanjang berada dalam tahanan.
Ada dalam kalangan mereka mengalami kecederaan serius selepas terkena peluru getah yang dilepaskan rejim Zionis itu selain pulang dalam keadaan trauma selepas mengalami seksaan yang teruk.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan lebih 400 aktivis GSF 2.0 dan FFC yang ditahan pihak tentera Israel dilaporkan menerima layanan tidak berperikemanusiaan di Pelabuhan Ashdod.
Sebuah rakaman video yang dimuat naik sendiri oleh Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir di aplikasi TikTok memaparkan layanan buruk pihaknya terhadap aktivis kemanusiaan terbabit.
Menerusi video itu, anggota rejim menarik rambut dan menolak kepala seorang aktivis wanita selepas beliau melaungkan slogan ‘Free Palestine’ sebaik menyedari kehadiran Ben-Gvir.
Selain itu, video sama turut memaparkan keadaan aktivis yang diikat tangan ke belakang dan dipaksa berada dalam posisi menunduk dengan kepala diletakkan di atas lantai.
Bagaimanapun, kesemua mereka selamat mendarat di Instabul malam tadi (waktu Malaysia) dengan menaiki tiga penerbangan tajaan khas Kerajaan Turkiye. – KOSMO! ONLINE
@talkpalestinekeadaan beberapa aktivis yang di dera issewel♬ Calculate The Distance – Empire Score
17 hours ago
10















































