KANGAR – Empat lelaki warga China dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM250 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki alat dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah awal bulan ini.
Tertuduh, Chen Yufeng, 52; Peng Yongjian, 46; Liu Huazai, 51, dan Wang Jianghua, 45, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala kesemua tertuduh yang berasal dari wilayah Jiangxi, China tidak diwakili peguam.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memiliki beberapa peralatan pecah rumah tanpa alasan yang sah di sebuah rumah di Taman Bukit Kaya Indah di sini antara pukul 7.30 petang pada 7 Mei lalu hingga 7.30 pagi keesokan harinya.
Antara barangan dirampas ialah empat batang besi berwarna hitam, satu sepana boleh laras, satu cutter merah jenama Vaster, satu pelayar warna hitam dan kelabu serta satu pemutar skru jenama Toptul.
Turut ditemukan ialah satu alat berbentuk T berwarna hitam dan kuning dengan bahagian hujung besinya telah dicanai yang disyaki digunakan sebagai master key.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 28(1)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Tengku Ruqayyah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan berkenaan bukan satu perkara remeh, sebaliknya mempunyai kaitan rapat bersama kegiatan jenayah pecah rumah dan kecurian harta benda awam.
“Pemilikan barang pecah rumah ini menunjukkan persediaan melakukan jenayah dan memberi ancaman serius kepada keselamatan awam dan kepentingan awam adalah mengatasi kepentingan peribadi keseluruhan,” katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara selama dua minggu bermula dari tarikh tangkapan selain dikenakan denda RM250 setiap seorang atau tambahan penjara dua bulan jika gagal bayar.
Kosmo! pada 14 Mei melaporkan empat lelaki warga China dipercayai anggota sindiket pecah rumah diberkas polis di Kampung Wai, Kuala Perlis sehari sebelumnya.
Suspek cuba merempuh sekatan jalan raya dan melarikan diri sebelum berjaya ditahan. Polis turut merampas pelbagai peralatan pecah rumah dan alat penyamaran.- KOSMO! ONLINE

13 hours ago
9

















![[VIDEO] Kami dipukul, dicabul, direnjat – Peserta Sumud](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/efa607c1-337b-4e4b-9541-fd65320bd45d.jpeg)





























