KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King menepati ramalan apabila mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 selepas menewaskan pasangan Amerika Syarikat (AS), Chen Zhi Yi-Presley Smith di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Turun selaku pilihan kelima kejohanan, Arif-Roy King yang kini menghuni ranking ke-16 dunia mempamerkan aksi meyakinkan untuk melakar kemenangan straight set 21-15, 21-19 dalam tempoh 32 minit.
Pada set pertama, Arif-Roy King tampil cukup agresif dan menguasai rentak permainan sejak awal sebelum hanya mengambil masa 13 minit untuk menutup kemenangan 21-15.
Bagaimanapun, set kedua menyaksikan tentangan lebih sengit daripada pasangan AS apabila Arif-Roy King ketinggalan 7-11 susulan beberapa kesilapan mudah selain lawan mula menemui rentak lebih kemas.
ARIF (kanan) dan Roy King mara ke separuh akhir selepas melakar kemenangan ke atas pasangan Amerika Syarikat (AS), Chen Zhi Yi-Presley Smith. – MUHAMAD IQBAL ROSLIMeskipun berada di belakang 14-16, pasangan negara enggan mengalah apabila berjaya merapatkan jurang menerusi mata berturut-turut untuk mengikat kedudukan 16-16.
Pertarungan terus berlangsung sengit dengan kedua-dua pasangan saling mengejar mata sebelum Arif-Roy King kembali mendahului perlawanan dengan keputusan 19-17.
Chen-Presley sekali lagi memberi tekanan apabila berjaya menyamakan kedudukan 19-19, namun ketenangan dimiliki beregu negara pada penghujung permainan membolehkan mereka mengutip dua mata terakhir untuk menoktahkan kemenangan 21-19.
Kemenangan itu juga membolehkan wakil negara mengekalkan rekod bersih 3-0 sepanjang pertemuan mereka dengan gandingan dari AS tersebut.
Menanti mereka di separuh akhir nanti sama ada pilihan keenam dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard atau pilihan kedua dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi. -KOSMO! ONLINE

17 hours ago
10

















![[VIDEO] Kami dipukul, dicabul, direnjat – Peserta Sumud](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/efa607c1-337b-4e4b-9541-fd65320bd45d.jpeg)





























