MELAKA – Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan membaling kerusi ke arah isterinya hingga menyebabkan tangan kiri mangsa patah ketika bertengkar berkaitan video wanita bogel, awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Rizman Akmal Ahmadiah, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan cedera parah terhadap isterinya yang berusia 27 tahun dengan cara membaling sebuah kerusi meja solek sehingga menyebabkan tangan kiri mangsa patah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 6.30 pagi di sebuah rumah di Kampung Seri Mawar, Paya Redan, Tiang Dua dalam daerah Melaka Tengah pada 6 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas mangsa memeriksa telefon bimbit tertuduh sebelum mendapati lelaki itu melihat video perempuan bogel di aplikasi TikTok sehingga mencetuskan pertengkaran mulut antara mereka.
Mangsa kemudian didakwa tertampar pipi kiri tertuduh sebelum lelaki itu bertindak agresif dengan membaling kerusi besi meja solek ke arahnya.
Selain itu, tertuduh juga dikatakan telah memukul kepala mangsa menggunakan batang rod kayu langsir serta menarik rambut, menumbuk dan menendang di bahagian mata kanan selain menerajang kepala wanita itu beberapa kali.
Mangsa menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar dan disahkan mengalami patah tangan kiri, luka di kepala serta lebam di beberapa bahagian badan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah ‘Izatti Abdul Mutalif mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Peguam Fahmy Sulaiman yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya kini melakukan tiga pekerjaan termasuk wakil insurans dan penghantar makanan bagi menanggung isteri serta seorang anak berusia setahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat dipohon pendakwaan.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang penjawat awam.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM3,500. Sebutan semula kedua-dua kes ditetapkan pada tarikh 30 Jun depan.-KOSMO! ONLINE

13 hours ago
10

















![[VIDEO] Kami dipukul, dicabul, direnjat – Peserta Sumud](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/efa607c1-337b-4e4b-9541-fd65320bd45d.jpeg)





























