[VIDEO] Adik sambung legasi abang, sarung uniform wira merah

5 hours ago 1

PETALING JAYA – Adik kepada salah seorang anggota bomba yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong tujuh tahun lalu, kini meneruskan legasi arwah abangnya menyarung uniform wira merah.

Pegawai bomba, Intan Norhafiza Wan Ibrahim iaitu adik kepada Allahyarham Izatul Akma Wan selesai menjalani latihan dan rekrut di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang di Terengganu.

Menerusi hantaran video TikTok BombaMalaysiaOfficial turut memaparkan suasana sebak selepas Intan Norhafiza berjaya menamatkan latihan serta diraikan dalam satu majlis tamat kursus baru-baru ini.

“Hari ini menjadi saksi warisan perjuangan yang terus bernafas kepahlawanannya. Allaharham Izatul Akma Wan Ibrahim mengalir jua dalam nadi adindanya.

“Seorang daripada enam orang wira merah yang gugur dalam operasi menyelamat mangsa lemas di puchong, selangor pada tahun 2018.

“Hari ini pegawai bomba Intan Norhafiza Wan Ibrahim melangkah srikandi wira merah dan meneruskan legasi abang beliau,” menurut hantaran berkenaan.

Menerusi video itu, kelihatan Intan Norhafiza menahan sebak sehingga menggenggam pakaian seorang pegawai bomba wanita, malah dia turut menangis bersama ibunya yang berkerusi roda.

Pengguna media sosial turut meninggalkan komen sebak, terharu dan berbangga dengan Intan Norhafiza apabila meneruskan legasi abangnya sebagai pegawai bomba.

“Tak boleh tahan saat dia genggam baju pegawai kat sebelah dia,” komen seorang individu.

“Hebat, tapi hebat lagi si ibu yang mampu melihat anak perempuannya terus berkhidmat dalam bomba walaupun kehilangan anak dalam kerjaya sama,” kata seorang pengguna TikTok.

“Saya ingat pegawai bomba datang ke rumah salah seorang anggota yang terlibat. Ketukan pintu di awal pagi itu, saya sangat ingat. Tak lama lepas salam dijawab, hanya suara menangis yang saya dengar. Esoknya dimaklumkan dalam WhatsApp group flat, kejadian ni. Bila teringat balik, sayu sangat pagi tu,” komen individu lain.

Dalam kejadian pada 3 Oktober 2018, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bomba lemas selepas dipercayai terbelit dengan tali antara satu sama lain selepas arus di lokasi pencarian terlalu kuat sehingga mereka gagal menyelamatkan diri.

Selain Izatul Akma yang ketika itu berusia 32 tahun, lima lagi yang meninggal dunia ialah Mohd Fatah Hashim, 34, Mazlan Omar Baki, 25, dan Yahya Ali, 24 dari PPDA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang.

Dua mangsa lain, Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, dan Adnan Othman, 33, dari PPDA BBP Shah Alam.

Enam bomba tersebut lemas sewaktu melakukan SAR seorang remaja lemas, Muhammad Ilham Fahmy Mohd. Azzam, 17, di sebuah lombong di Taman Putra Perdana Puchong. – KOSMO! ONLINE

@bombamalaysiaofficial Jgn lupa gais!! follow ramai ramai Acc Rasmi Bomba Malaysia okey! #foryoupage #fypシ゚viral #bombamalaysia #fyp #bombamalaysiaofficial ♬ Dj Viral Ingin Ku Teriak Bilang I Love You – MR STRONG CSS
Read Entire Article
Pertanian | | | |