SEREMBAN – Pemandu wanita yang menjadi mangsa kes tumbuk di Senawang di sini kelmarin, tidak mampu memaafkan pelakunya kerana dia tidak pernah dilayan begitu teruk oleh adik-beradik lelaki sepanjang 27 tahun hidupnya.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ira berkata, bapanya seorang pesara guru memberi didikan terbaik buatnya termasuk mengaku sekiranya ada melakukan kesalahan.
“Masa saya terlanggar semalam (kelmarin) pun, saya tak cakap apa-apa, saya tak melenting, tak melawan, nak keluar kereta pun tak sempat. Niat apabila buka pintu kereta nak minta maaf, tetapi saya tidak diberi peluang untuk bercakap.
“(Pelaku) datang terus bagi (tumbuk), untuk saya memaafkan dia susah kalau dia sendiri tidak berfikir sebelum bertindak. Saya tak akan tarik kes.
“Selepas saya buka pintu (kereta), dia hayun tangan untuk menumbuk, saya palingkan muka dan tumbukan itu terkena di belakang kepala. Lelaki itu ke depan mengambil anaknya dan letak di tepi.
“Sekali lagi dia hayun tangan untuk tumbuk muka saya, tapi saya berpaling dan terkena belakang kepala. Kali ketiga dia tumbuk perut saya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Menurut ibu kepada sepasang anak berusia tujuh dan lima tahun itu, dia berasa kasihan dengan nasib kanak-kanak yang dilanggar, namun menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan keselamatan anak-anak terutama ketika jalan sesak.
“Masa kejadian saya baru beli baju raya adik di pasar raya berdekatan. Memang saya lihat kereta di kiri, kanan dan hadapan. Secara tiba-tiba selepas sebuah kenderaan membelok di hadapan, saya teruskan perjalanan (dan) terlanggar. Nampak dan sedar bila dah terlanggar,” katanya yang menyerahkan kes kepada pihak polis.
Bukan berdendam, namun wanita itu menegaskan ahli keluarganya termasuk abang kandung tidak pernah berkasar dengannya selama ini.
Terdahulu, polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menumbuk pemandu wanita dalam kejadian di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang.