‘Tukang jaga’ jadi orang tengah agih duit raya

2 days ago 6

GEORGE TOWN – Kebanjiran ratusan pengemis jadian di Jalan Masjid Kapitan Keling di sini sejak malam 27 Ramadan, Jumaat lalu menyebabkan kumpulan itu dikatakan terpaksa dipantau individu atau penjaga kawasan bagi mengelak kekecohan berlaku akibat perubatan duit raya.

Perkara tersebut didedahkan seorang pemuda berusia 20-an yang mendakwa bertindak sebagai ‘tukang jaga’ kumpulan pengemis di lokasi berkenaan.

Menurut lelaki warga tempatan itu, kehadirannya ke situ semata-mata untuk mengawal keadaan sekiranya berlaku sebarang pergaduhan melibatkan individu-individu terbabit terutama pengemis warga asing.

“Saya jaga mereka, takut berlaku kejadian berebut duit raya seperti tahun lalu membabitkan warga Rohingya. Saya akan ikut mana-mana penderma semasa waktu agihan wang dilakukan kerana tidak mahu ada pergaduhan atau rasa tidak puas hati.

“Bila ada kekecohan berlaku, polis akan datang dan semua yang ada di sini akan dihalau balik. Daripada semua boleh cari duit raya sampai Ahad ini, terus semua diusir pulang,” katanya kepada Kosmo! di sini malam kelmarin.

Dalam pada itu, katanya yang mendakwa bekerja sebagai pengayuh beca di kawasan tersebut, setakat ini jumlah wang yang mampu dikumpul oleh seorang pengemis adalah sekitar RM160 sehari.

“Kali ini, ramai penderma beri RM1 atau RM2 sahaja dan paling banyak setakat RM10. Malah, siapa sahaja yang ada di kawasan ini termasuk pelanggan kedai nasi kandar berdekatan juga akan dihulurkan wang daripada penderma budiman.

“Penderma tidak kira bangsa atau umur dan warna kulit. Semua yang duduk di sini akan diberi duit raya. Tadah sahaja tangan atau datang duduk dekat dengan kami, akan dapatlah duit raya,” ujarnya mana-mana penderma hanya perlu menyediakan kira-kira RM300 hingga RM600 untuk diberi kepada individu di situ.

Jelasnya lagi, kebanyakan pengemis tersebut tinggal di sekitar pusat bandar ini, Seberang Perai dan Sungai Petani di Kedah. Mereka akan ‘berumah tangga’ di situ sehingga malam raya nanti bagi menantikan pemberian duit raya atau kuih raya daripada orang awam.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di lokasi berkenaan mendapati ada kelibat beberapa pemuda yang akan duduk atau berdiri di tepi dan sudut kaki lima di situ bagi menunggu kehadiran para penderma terdiri jemaah masjid dan pengguna jalan.

Malah, ada juga dipercayai bertindak sebagai ‘orang tengah’ dalam urusan agihan wang daripada penderma, bagi membantu melancarkan urusan pemberian duit raya dilakukan.

Semalam, Kosmo! melaporkan lebih 100 pengemis dikesan mula ‘berumah tangga’ di kaki lima bangunan dan pekarangan luar Masjid Kapitan Keling sejak Jumaat malam dengan ada yang bawa bersama anak kecil dan dan ibu bapa yang sedang uzur.

Hasil tinjauan di lokasi, majoriti pengemis yang terdiri dalam kalangan warga tempatan itu masih tidak berganjak di lokasi berkenaan sehingga pukul 2 pagi.

Rata-rata mereka yang hadir berkeluarga itu dilihat duduk serta baring di lantai kaki lima premis-premis, termasuk ada yang berjalan ke hulu hilir sementara menunggu kehadiran individu pemurah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |