‘Transporter’, pemandu teksi Danok dicekup seludup bunga ganja RM1.62 juta

3 weeks ago 19

ALOR SETAR – Dua lelaki termasuk warga Thailand ditahan kerana disyaki cuba menyeludup 45.55 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM1.62 juta di Bukit Kayu Hitam, dekat sini semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah menahan sebuah pikap jenis Isuzu bernombor pendaftaran Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) pada pukul 5 petang.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang bekerja sebagai penghantar kargo dan seorang lelaki Thailand berusia lingkungan 50-an yang merupakan pemandu teksi di Pekan Danok, Thailand.

“Pemeriksaan lanjut menemui dua bagasi di ruang barangan kenderaan yang masing-masing mengandungi 40 peket plastik lut sinar mampat disyaki berisi bunga ganja,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Katanya, ia merupakan rampasan kali pertama membabitkan bunga ganja dilakukan polis Kedah.

“Harga pasaran bunga ganja di Thailand adalah 100,000 baht sekilogram manakala di Malaysia bernilai RM36,000 sekilogram. Harga bunga ganja itu jauh lebih tinggi berbanding ganja biasa iaitu sekitar RM3,000 sekilogram.

“Harga yang tinggi itu mungkin digunakan oleh kumpulan individu tertentu mengikut permintaan, namun kita masih menyiasat perkara ini,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek warga tempatan bertindak sebagai ‘transporter’ dadah dan dia mengaku telah beberapa kali membawa dadah dari Thailand ke Malaysia.

“Penyeludupan dadah itu didakwa dilakukan menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam dan Sungai Golok di Kelantan dengan upah antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap penghantaran,” ujarnya.

Katanya, suspek terbabit didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai tiga rekod lampau kes dadah termasuk di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, bunga ganja itu dipercayai untuk diedarkan di pasaran Lembah Klang dan selatan tanah air dengan jumlah rampasan boleh digunakan oleh seramai 30,000 orang secara kecil-kecilan.

“Maklumat berkaitan kes ini kemudian disalurkan kepada JSJN IPK Johor untuk bantuan tindakan mengesan ‘mastermind’ dalam sindiket pengedaran bunga ganja ini.

“Susulan itu, seorang lelaki berusia 30 tahun yang mempunyai tujuh rekod kesalahan narkotik dan dua jenayah serta seorang wanita berusia 38 tahun ditahan,” jelasnya.

Tambahnya, kedua-dua suspek yang ditahan di Kedah direman selama tujuh hari bermula hari ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |