Tonton saingan Piala EFL secara percuma

1 month ago 25

KUALA LUMPUR – Para peminat bola sepak Malaysia kini boleh menarik nafas lega apabila dapat menyaksikan kelab kegemaran masing-masing dalam saingan Piala Liga Inggeris (EFL) bagi musim 2024/25.

Selepas menjadi penyiar rasmi bagi Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 dan juga Jelajah Harimau Malaya ketika menentang New Zealand, Laos dan India, kini TV Sarawak (TVS) sekali lagi membawa berita gembira apabila akan menyiarkan secara rasmi Piala Carabao atau lebih dikenali sebagai EFL.

Perkara itu pastinya memberi kegembiraan kepada peminat-peminat bola sepak di Malaysia memandangkan saingan EFL tidak ditayangkan di siaran televisyen swasta.

Paling menarik, siaran boleh diikuti secara percuma di saluran TVS sama ada menerusi siaran digital ataupun di atas talian.

TVS akan menyiarkan siaran langsung bermula aksi suku akhir hingga perlawanan final EFL yang bakal dinikmati peminat-peminat bola sepak Malaysia serta seluruh Asia Tenggara (ASEAN).

Ketika ini, lapan pasukan yang akan berentap di suku akhir adalah Arsenal, Crystal Palace, Newcastle United, Brentford, Southampton, Liverpool, Tottenham dan Manchester United.

Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Kushairi Abang berkata, ini kali pertama saingan EFL dibawakan secara percuma kepada peminat-peminat bola sepak Malaysia.

“Buat pertama kalinya, TVS menerjah pasaran antarabangsa dengan membawakan perlawanan-perlawanan Piala Carabao (EFL) secara percuma. Ia adalah antara kejohanan bola sepak dunia yang berprestij.

“Langkah ini membuktikan TVS komited dalam menyediakan kandungan-kandungan sukan premium, selain memastikan semua rakyat Malaysia dapat menikmati keseronokan bola sepak Inggeris secara percuma,” katanya.

Selain itu, TVS turut menyediakan segmen analisis sebelum dan selepas perlawanan oleh pundit atau pakar bola sepak tempatan bagi memberi liputan menarik kepada kira-kira tujuh juta peminat bola sepak di Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |