MELAKA – Suami kepada Allahyarham Sarjan Penjara, Amal Nurlidar Ghazali, 42, yang maut dalam kemalangan ngeri digilis lori pembancuh simen di Lebuh SPA, Sungai Udang di sini, semalam berkata, sejak dua minggu kebelakangan ini, arwah menunjukkan perubahan luar biasa.
Menurut Mohd Izham Rosly, 46, yang bertugas di Pusat Koreksional Jasin, perubahan luar biasa pada isterinya selama ini tidak pernah dilakukan sepanjang perkahwinan mereka.
“Biasanya kalau pergi kerja, kami salam dan saya cium tangan dia, tapi sejak dua minggu lalu, dia minta saya cium dahi setiap kali sebelum dia keluar rumah.
“Saya cuma fikir itu spontan atau manja semata-mata, tidak terfikir itu petanda dia akan pergi selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka pagi tadi.
Tambah Mohd Izham, kemalangan berlaku ketika arwah yang bertugas di Penjara Dusun Dato’ Murad, Ayer Keroh sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Sungai Udang selepas pulang lewat sedikit kerana urusan kerja.
Katanya, ketika kejadian dia baru pulang dari tempat kerja kira-kira pukul 4 petang dan sempat tertidur selepas mandi tanpa menyedari telefon bimbitnya yang berada dalam mod senyap berdering tanpa henti.
“Bila tersedar pukul 6.30 petang, saya lihat ada lebih 100 panggilan tidak dijawab. Rakan-rakan penjara dan jiran datang beritahu isteri kemalangan.
“Saya terus bergegas ke lokasi tapi polis tak benarkan saya dekati isteri,” katanya sebak.
Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun yang semuanya kini tinggal di asrama.
Mereka ialah Muhammad Airiel Iskandar, 17, pelajar Kolej Vokasional SMK Datuk Abdul Rahman Yaakub, Merlimau; Muhammad Alief Hakimi, 16, pelajar Kolej Vokasional Melaka Tengah dan Muhammad Afieq Musyrif, 13, pelajar Sekolah Sukan Mutiara Impian, Pulau Pinang.
“Kami tinggal berdua di rumah sejak anak-anak masuk asrama. Kehidupan saya selepas ini pasti sangat sunyi.
“Selalunya arwah yang teman saya setiap hari, sekarang saya tinggal seorang,” katanya dalam nada teresak.
Mohd Izham berkata, meskipun dia reda dengan takdir, namun tetap terkilan apabila kemalangan berlaku dipercayai akibat kecuaian manusia.
“Saya dimaklumkan sistem brek lori tidak berfungsi dengan baik dan sekiranya pemandu lebih berhati-hati atau kenderaan diselenggara betul, mungkin kemalangan ini boleh dielakkan,” katanya yang memaklumkan jenazah isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Payasum, Sungai Udang. – KOSMO! ONLINE