Tikam ‘crush’, pemuda dipenjara tujuh tahun

8 hours ago 4

MELAKA – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menikam seorang gadis yang juga adik kepada abang iparnya selepas gagal memikat mangsa, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Hidayat Burhan, 25, yang masih bujang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan suatu perbuatan menikam yang juga seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dengan menggunakan sebilah pisau yang boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 4.05 petang di Jalan Tangga Batu berhadapan Taman Tangga Batu, Melaka Tengah pada 20 Oktober lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda dan sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang, dia boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dan mengakui mengenali serta pernah cuba memikat gadis terbabit sebelum melakukan jenayah berkenaan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira jenayah dilakukan tertuduh telah mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun terhadap tertuduh bermula dari tarikh ditangkap pada 21 Oktober lalu.

Kosmo! pada 20 Oktober lalu melaporkan seorang remaja perempuan cedera selepas dipercayai dilibas dengan objek tajam oleh individu tidak dikenali ketika menunggang motosikal di Jalan Tangga Batu, Tanjung Kling kira-kira pukul 4.45 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, akibat kejadian itu mangsa berusia 18 tahun yang bekerja sebagai operator kilang mengalami luka sepanjang kira-kira tujuh sentimeter di bahagian pinggang belakang.

Mangsa yang berasal dari Tangkak, Johor bagaimanapun mendakwa dia tidak mempunyai sebarang perselisihan faham dengan sesiapa kerana baru tiga bulan bekerja di sebuah kilang di negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |